X

Kindly register in order to view this article
!

Risiko ‘bom jangka’ Covid-19 di Sabah

Kempen PRN Sabah semakin sengit melibatkan seramai 447 calon bertanding di 73 DUN.
A
A

JIKA mata sengaja dibutakan, telinga sengaja dipekakkan, hanya untuk mencapai matlamat kempen berpolitik semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pastinya Covid-19 yang kini dianggap ibarat ‘bom jangka’ akan meletus pada bila-bila masa.

Kekhuatiran itu wajar ditakuti kerana sehingga ke hari ini, sebanyak 643 kes positif dilaporkan berlaku melibatkan enam kluster di Sabah iaitu Kluster Benteng Lahad Datu (LD) sebanyak 583 kes, Kluster Pulau (29 kes), Kluster Bakau (3 kes), Kluster Selamat (19 kes), Kluster Kuarters (5 kes) dan Kluster Laut (4 kes).

Kluster Benteng Lahad Datu menjadi penyumbang terbesar jangkitan yang mula dikesan pada 1 September lepas daripada dua pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Namun, apa yang semakin membimbangkan rakyat Malaysia ketika ini ialah gelombang virus Covid-19 yang sedang memuncak di Sabah ketika ini bakal meledak bukan sahaja di Negeri Bawah Bayu itu bahkan menular ke negeri-negeri lain.

Ini berikutan berbondong-bondong gerombolan jentera pelbagai parti dari seluruh negara kini berkampung selama lebih dua minggu di Sabah untuk berperang dan bergasak pada kempen PRN Sabah.

Calon PRN Sabah terpaksa mengelakkan kempen dalam jumlah penyokong yang besar dan di tempat yang sesak. (Gambar hiasan)
Calon PRN Sabah terpaksa mengelakkan kempen dalam jumlah penyokong yang besar dan di tempat yang sesak. (Gambar hiasan)

Kebimbangan itu semakin menakutkan apabila semalam dilaporkan seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO diisolasi di hospital di Kota Kinabalu manakala sekumpulan jentera UMNO dari Wilayah Persekutuan diarahkan melakukan kuarantin di rumah selepas dikhuatiri terdedah kepada virus Covid-19.

Mereka dikatakan mengadakan kempen di kawasan Parlimen Sipitang melibatkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lumadan dan Sindumin.

Sipitang terletak kira-kira 462 kilometer atau mengambil masa 7 jam 35 minit perjalanan dengan kereta dari Tawau yang merupakan zon merah penularan Kluster Benteng LD selain penularannya di Lahad Datu.

Pakar virologi Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar menegaskan, keghairahan berkempen semata-mata untuk merebut kedudukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dengan mengetepikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengundang bencana bukan sahaja rakyat di Sabah, bahkan mungkin juga di seluruh negara.

Sazaly Abu Bakar
Sazaly Abu Bakar

“Saya tidak risau sewaktu hari pengundian kerana pihak berwajib akan memastikan tatacara SOP dipatuhi seketatnya. Paling saya risau adalah keghairahan berkempen seperti berkempen dari rumah ke rumah atau ke pasar yang sesak.

“Masa berkempen banyak air liur yang terkeluar. SOP diabaikan seperti ada yang masih tak pakai pelitup muka dengan sempurna. Tutup mulut tetapi tidak tutup hidung. Itu yang boleh menyebabkan penularan dan susah nak buat penjejakan,” tegasnya kepada Sinar Harian semalam.

Apa yang disuarakan oleh Sazaly itu ada benarnya kerana kita dapat melihat banyak calon dan jentera parti ketika berkempen mengabaikan SOP dan tidak mengamalkan penjarakkan fizikal.

Jika ini terus berlaku iaitu lima hari lagi menjelang hari pengundian pada 26 September, maka pemimpin itu gagal memberikan contoh yang baik terhadap pengundi dan mendatangkan kemudaratan buat seluruh rakyat Sabah.

Bahkan, menurut Sazaly, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa penularan Covid-19 di Sabah akan lebih teruk berbanding Kluster Sri Petaling yang merekodkan 3,375 kes positif Covid-19 selepas seramai 42,023 individu disaring.

“Mungkin kamu ada kerajaan baharu tetapi kalau Sabah kena Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, ekonomi akan kembali lumpuh. Kita sendiri yang mengundang bencana itu. Mereka lupa apa yang terjadi sebelum ini dan mungkin akan lebih teruk daripada Kluster Sri Petaling,” katanya.

Zon merah

Menyedari bahaya Covid-19 semasa berkempen di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal menegaskan amanah yang dipertanggungjawabkan bukanlah satu tugas yang mudah.

Beliau yang membantu kempen Barisan Nasional (BN) di DUN Kukusan dan Tanjung Batu di Tawau menegaskan, berkempen di sana memerlukan pendekatan baharu di samping mematuhi SOP yang ditetapkan oleh KKM dan SPR ketika berkempen.

Fadzli
Fadzli

Berbeza dengan pilihan raya umum sebelum ini, Fadzli menegaskan tiada kempen rumah ke rumah dijalankan dan tiada kempen di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Takut itu memang takut. Tawau merupakan kawasan merah. Jadi kami daripada jentera BN Pahang perlu sentiasa mematuhi SOP dan meningkatkan lagi soal keselamatan dan kebersihan diri.

“Selama dua minggu kami di sini, pematuhan SOP itu menjadi satu kemestian dan wajib untuk dipatuhi kerana kami tidak mahu dijangkiti,” katanya.

Sama seperti Fadzli, Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Shu Ying juga telah mengarahkan jentera partinya supaya mengurangkan pergerakan berkempen ketika bertemu dengan pengundi memandangkan situasi jangkitan Covid-19 yang belum reda di Sabah.

Chin Shu Ying
Chin Shu Ying

Katanya, kempen rumah ke rumah masih dijalankan dengan hanya mengedarkan risalah di luar rumah penghuni.

“Dalam berkempen kita ikut SOP yang telah ditetapkan. Bagi keselamatan pengundi, kita hanya buat sekitar 150 orang dengan amalan penjarakan fizikal. Semua ini demi keselamatan pengundi dan jentera parti,” katanya.

Cuma apa yang mendatangkan kerisauan buat Shu Ying dalam PRN kali ini adalah peningkatan jumlah jangkitan di pantai timur Sabah seperti di Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

“Pihak berwajib perlu tingkatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan itu. Parti-parti bertanding perlu ingat bahawa anda kemungkinan boleh mendatangkan bahaya sekiranya tidak menerapkan SOP ketika berkempen.

“Kesihatan dan keselamatan rakyat harus diutamakan pada ketika ini,” katanya.

Info antara pemimpin utama negara yang turut berkunjung ke Sabah untuk berkempen pada PRN Sabah.
Info antara pemimpin utama negara yang turut berkunjung ke Sabah untuk berkempen pada PRN Sabah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!