X

Kindly register in order to view this article
!

Amanat sedikit terpisah dari realiti: Khaled

A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan amanat Menteri Pendidikan 2019 baru-baru ini, sedikit terpisah dari realiti.

Menurutnya, malah amanat tersebut tertinggal banyak perkara pokok dan kritikal, iaitu perkara yang seharusnya dihujahkan dengan mendalam bagi mengetahui hala tuju dan masa depan pendidikan negara.

“YB Menteri tidak memberikan trajektori masa hadapan yang meyakinkan dan ampuh untuk menghadapi senario ketidaktentuan pendidikan tinggi negara yang pelbagai.

“Misalnya dalam perkara-perkara berikut. Pertama, isu autonomi universiti. Kedua, aspek institusi pendidikan swasta,” katanya dalam satu kenyataan mengulas amanat tersebut di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, perkara ketiga mengenai aspirasi pendidikan untuk semua serta pendidikan sepanjang hayat yang tidak dikaitkan dengan keupayaan kewangan atau ekosistem yang mampu memberikan pembiayaan pendidikan diperlukan oleh ramai orang.

“Keempat, YB Menteri tidak menyentuh langsung tentang komitmen beliau untuk memperkasakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara 2015- 2025.

“Kelima, terlalu banyak sekali fokus ucapan tersebut tertumpu kepada isu-isu pengurusan pendidikan dan pendidikan tinggi sehingga meminggirkan isu-isu fundamental,” katanya.

Beliau berkata, perkara keenam, Malaysia memerlukan penyelesaian paling komprehensif terhadap pendidikan anak bangsanya dampak globalisasi dan kemajuan manusiawi.

“Ketujuh, tidak disebut dan dinyatakan pendirian kerajaan terhadap sekolah-sekolah vernakular,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, beliau berharap aspek-aspek yang dikemukakannya akan disemak dan dilihat kembali dengan serius.

Meskipun begitu, beliau memuji beberapa perkara dalam amanat tersebut antaranya pendidikan harus menjadi tanggungjawab semua pihak.

“Beliau juga menekankan peri pentingnya nilai dan kualiti menjadi inti pati utama pendidikan. Selain itu kita harus mengurangkan beban guru, autonomi mesti diberikan kepada institusi pendidikan dan institusi pendidikan mesti membumi dan kembali kepada masyarakat.

“Malah, tindakan memasukkan M keempat iaitu elemen ‘Manusiawi’ selepas mentara 3M yang kita pegang selama ini, adalah sesuatu yang sangat baik dan kena pada masanya. Saya setuju, saya sokong dan saya puji semua ini,” katanya.