Semangat berpasukan kunci kemaraan Kuala Lumpur

Pemain Kuala Lumpur meraikan jaringan ketika menentang Sarawak pada aksi Piala Tun Abdul Razak. -- Foto Malaysian Hockey Confederation
Pemain Kuala Lumpur meraikan jaringan ketika menentang Sarawak pada aksi Piala Tun Abdul Razak. -- Foto Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

NUR Syafiqah Mohd Zain mendedahkan semangat berpasukan ‘istimewa’ sebagai kunci kebangkitan Kuala Lumpur untuk mara ke peringkat Kumpulan XY Piala Tun Abdul Razak 2020.

Kuala Lumpur kendalian Iman Gobinathan melakar kebangkitan bergaya dalam kempen kali ini apabila berjaya mengatasi pasukan pilihan Pahang 2-1 semalam sebelum mengesahkan kemaraan hasil kemenangan 4-0 ke atas Sarawak pagi tadi.

Satu gol masing-masing daripada Nur Zafirah Aziz pada minit ketujuh, Nur Syaza Afiqah (m-23), Nur Arisya Effandi (m-26) dan Norazlin Sumantri (m-39) memastikan Kuala Lumpur menyertai Selangor, Pulau Pinang dan Pahang mara ke Kumpulan XY.

Terdahulu Kuala Lumpur yang juga finalis tahun lalu nyaris tersingkir awal apabila tewas mengejut kepada Melaka 1-0 dalam aksi pembukaan Piala Tun Abdul Razak pada Jumaat lalu.

Bagi kapten Kuala Lumpur, Nur Syafiqah mengakui semangat berpasukan dan semangat tidak kenal erti mengalah pemain sebagai kunci kebangkitan buat mereka yang ditunjangi beberapa pemain muda kali ini.

“Sukar untuk dipercayai! Pada satu ketikanya sudah terlintas di fikiran bahawa kami mungkin tersingkir. Kami tahu ia sukar tambahan pula kami perlu mencari kemenangan ke atas Pahang.

“Tetapi berbekalkan semangat berpasukan yang tinggi dan permainan mati-matian, kami berjaya tewaskan Pahang yang diperkuatkan lima pemain kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih, Iman Gobinathan pula mengakui pukulan sudut penalti menjadi antara bahagian yang perlu dipertingkatkan barisan pemainnya menjelang aksi Kumpulan XY.

Artikel Berkaitan:

“Kami perlu memanfaatkan tempoh rehat esok untuk memperbaiki lagi ketajaman pukulan sudut penalti kami. Semangat pemain saya berada pada tahap tertinggi,” ujarnya.

Mengenai pertemuan dengan Sarawak pagi tadi, jurulatih berusia 42 tahun itu memuji peningkatan persembahan pasukan Sarawak sejak kebelakangan ini.

“Sarawak menunjukkan peningkatan yang banyak terutamanya dari segi aspek pertahanan. Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Secara keseluruhannya pemain saya beraksi OK, tetapi masih boleh ditingkatkan.” katanya.