Siasat kegagalan projek LCS

A
A
A

PADA tanggal 28 Julai 1975, Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan bangganya telah melancarkan pembinaan kapal ronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Jerung di Limbungan Hong Leong Lurssen, Butterworth, Pulau Pinang.

Ia merupakan peristiwa bersejarah apabila buat pertama kalinya kapal perang TLDM dibina dalam negara. Limbungan Hong Leong Lurssen adalah kerjasama antara syarikat tempatan dengan firma perkapalan Lurssen, Jerman.

Dikategorikan sebagai kapal serang laju, kapal jenis itu merupakan evolusi baharu dalam angkatan laut pada dekad tersebut kerana faktor kelajuan, saiz selain kos operasi yang rendah untuk tugas rondaan dan pengawasan.

Kesemuanya enam buah kapal dibina di limbungan itu termasuk KD Todak, KD Paus, KD Yu, KD Baung dan KD Pari.

TLDM juga mengoperasikan lapan lagi kapal perang jenis sama tetapi dilengkapi peluru berpandu antikapal iaitu Kelas Handalan yang dibina di Sweden dan Kelas Perdana buatan Perancis.

Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis tersebut berkata, Limbungan Hong Leong Lurssen adalah satu-satunya contoh kerjasama dan percantuman tenaga pihak swasta dalam dan luar negara yang telah berjaya dalam iklim ekonomi yang wujud di negara ini.

“Memandang ke masa hadapan maka peluang perkembangan perusahaan penyenggaraan dan pembinaan kapal-kapal masih luas lagi di Malaysia dan saya harap banyak lagi limbungan serupa ini diusahakan untuk memenuhi keperluan maritim dan ketenteraan pada masa akan datang,” ucap Tun Abdul Razak.

Perdana Menteri dalam ucapannya turut memuji kejayaan dan sikap positif pihak pengurus Limbungan Hong Leong Lurssen dalam usahanya untuk memenuhi cita-cita negara supaya mencapai kematangan dalam perusahaan penyenggaraan dan pembinaan kapal.

Artikel Berkaitan:

Syarikat itu juga membina kapal hidrografi TLDM, KD Mutiara pada tahun 1975 dan digunakan selama 41 tahun.

Ironinya, kejayaan 45 tahun lalu yang ditunjukkan industri maritim tempatan tidak diulangi apabila projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) TLDM gagal disiapkan oleh Boustead Naval Shipyard (BNS).

BNS adalah anak syarikat gergasi kejuruteraan tempatan, Boustead Holding yang juga memiliki pelbagai rangkaian perniagaan lain.

Kisah kegagalan itu bukan lagi rahsia terbuka apabila Kementerian Pertahanan (Mindef) mengakui syarikat yang dilantik telah gagal menyiapkan LCS mengikut tempoh kontrak.

Laporan Penyata Rasmi Dewan Negara di Parlimen yang bersidang pada 10 September lalu menerusi kenyataan daripada Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abd Aziz mengakui syarikat berkenaan juga sedang berhadapan dengan situasi kewangan yang meruncing.

Menurut beliau, penemuan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Kewangan Kerajaan mendapati sebanyak RM1 bilion daripada RM5.94 bilion yang telah dibayar tidak dapat dikesan.

Katanya, berdasarkan jumlah pembayaran yang telah dibuat itu sepatutnya Mindef telah menerima sekurang-kurangnya empat daripada enam buah kapal yang dirancang.

Dalam mesyuarat pada 11 Februari lalu yang dipengerusikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pertahanan pada masa itu, Mohamad Sabu pula telah memutuskan satu siasatan dijalankan selain merujuk perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

KD Jerung, kapal perang berusia 44 tahun bersama KD Paus, kini masih beroperasi sebagai inisiatif TLDM menampung keperluan aset susulan kawasan pantai timur Sabah yang luas dan mencabar. Khidmat dua kapal tua yang sepatutnya ditamatkan apabila enam LCS disiapkan nampaknya akan terus ditagih.

* Zaki Salleh merupakan penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu