X

Kindly register in order to view this article
!

FinCEN Files bongkar transaksi haram HSBC

Pendedahan itu menyebabkan saham HSBC menjunam pada paras terendah dalam tempoh 25 tahun. - Foto: Agensi
A
A

LONDON - Bank terbesar di United Kingdom (UK), HSBC didakwa membenarkan penipu memindahkan jutaan dolar ke seluruh dunia walaupun setelah mengetahui mengenai aktiviti penipuan mereka.

Perkara itu didedahkan menerusi dokumen rahsia berkaitan laporan aktiviti bank mencurigakan (SARs) digelar FinCEN Files yang mendakwa pemindahan wang AS$80 juta (RM330 juta) itu dibuat menerusi transaksi Amerika Syarikat (AS) ke akaun HSBC di Hong Kong pada 2013 dan 2014.

HSBC yang berpusat di London bagaimanapun menafikan tuduhan terlibat pengubahan wang haram tersebut dan menegaskan ia sentiasa mematuhi undang-undang untuk melaporkan aktiviti penipuan seumpama itu.

FinCEN Files berkenaan menunjukkan penipuan pelaburan tersebut berlaku selepas bank terbabit didenda AS$1.9 bilion (RM7.8 bilion) di AS kerana pengubahan wang haram malah ia juga berjanji untuk mengatasi aktiviti seperti itu.

Aktiviti penipuan itu digelar sebagai Skim Ponzi iaitu jenis pelaburan terkenal yang membayar pemegang saham dengan wang yang diperoleh daripada ahli baharu.

FinCEN Files tersebut yang membocorkan 2,567 dokumen itu turut membongkar penglibatan salah sebuah bank terbesar di AS yang mungkin telah ‘membantu’ pemindahan wang berjumlah lebih AS$1 bilion (RM4.13 bilion).

Difahamkan, SARs tersebut didedahkan menerusi laman Buzzfeed dan dikongsi bersama Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Sebelum ini, ICIJ mengetuai pendedahan Panama Papers dan Paradise Papers, dokumen rahsia yang membongkar aktiviti golongan kaya dan individu terkenal di luar pesisir. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!