Irwanshah akan teruskan bantuan Covid-19 jika diberi mandat

Irwanshah berswafoto dengan penduduk di DUN Sungai Sibuga. - Foto FB Irwanshah Mustapa
Irwanshah berswafoto dengan penduduk di DUN Sungai Sibuga. - Foto FB Irwanshah Mustapa
A
A
A

SANDAKAN – Bantuan asas koronavirus (Covid-19) akan diteruskan sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain bantuan pendidikan dalam bentuk wakaf tunai antara manifesto calon Parti Cinta Sabah (PCS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga.

Irwanshah Mustapa yang akan bertanding di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah turut menggariskan empat lagi manifesto lain untuk rakyat di kawasan berkenaan.

“Kita akan beri bantuan permulaan kepada keluarga yang mempunyai anak-anak untuk melanjurkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya juga akan menstruktur dan mengkaji semua penempatan rakyat dengan menyemak semula lot-lot perumahan atau perkampungan anak negeri atau bumiputera termasuk membuka kawasan penempatan strategi baru untuk rakyat memerlukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau akan berdepan empat pencabar lain iaitu Mohamad Hamsan (Barisan Nasional), Mohd Jain Aliuddin (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Kemellia Hasan (Parti Liberal Demokratik) dan Armani Mahiruddin (Parti Warisan Sabah).

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga pernah disandang bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman namun pada PRN kali ini, beliau tidak mempertahankan kerusi berkenaan.

Irwanshah berkata, pihaknya juga akan memperkasa sektor akuakultur dan pelancongan lestari dan laluan penerbangan antarabangsa melalui Lapangan Terbang Sandakan bagi tujuan merangsang industri pelancongan serta ekonomi rakyat setempat.

“Dalam memperkasa sektor ini, saya juga bercadang membuka dan mempromosi kawasan berpotensi untuk agro/eko pelancongan baru dalam kawasan Sungai Sibuga.

Artikel Berkaitan:

“Tidak lupa juga saya akan mewujudkan peluang dalam industry akualkultur dan meningkatkan lagi industri desa,”katanya.

Dalam pada itu, Irwanshah berkata, manifestonya yang keenam turut mahu mentransformasi kemudahan asas di kawasan berkenaan termasuk jaringan jalan raya, bekalan air bersih dan capaian jalur lebar (telekomunikasi).

“Sudah pasti, kita mahu ruang parkir di kawasan penempatan juga ditambah dan dipertingkatkan serta bercadang untuk membina jalan bertingkat terutama di kawasan jalan raya yang sesak.

“Manifesto terakhir saya memfokuskan kepada golongan belia supaya lebih sihat dan cemerlang dengan menaik taraf dan menambah kemudahan sukan,” katanya,