Guna dron kesan gajah di Felda Tenggaroh

Gambar gajah yang dikongsi laman Facebook Felda Tenggaroh Timur 1 mengenai aduan kehadiran kawanan gajah di ladang sawit.
Gambar gajah yang dikongsi laman Facebook Felda Tenggaroh Timur 1 mengenai aduan kehadiran kawanan gajah di ladang sawit.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor akan melakukan pemantauan menggunakan dron bagi mengesan pergerakan gajah yang dipercayai masuk ke kawasan gugusan Felda Tenggaroh, Mersing.

Pengarah Perhilitan negeri Salman Saaban berkata, tindakan itu dilakukan susulan laporan dua kumpulan gajah yang memusnahkan tanaman peneroka sejak dua minggu lalu.

Katanya, Jabatan Perhilitan Johor juga telah melakukan tindakan kawalan gajah di Felda Tenggaroh 5 pada Selasa lepas.

"Bagaimanapun kawalan tidak dilakukan di Felda Tenggaroh Timur 1 selepas dimaklumkan oleh pengadu bahawa kumpulan gajah terbabit didapati bergerak ke arah Felda Tenggaroh 5. Pengurusan Felda Tenggaroh 5 juga turut membuat aduan pada hari yang sama.

"Perhilitan Johor akan membuat kawalan dan pemantauan menggunakan dron namun bergantung kepada cuaca. Melalui dron ini, pergerakan kumpulan gajah dapat diketahui," katanya dalam kenyataan hari ini.

Gambar pokok kelapa sawit yang rosak yang dikongsi laman Facebook Felda Tenggaroh Timur 1 akibat kawanan gajah yang masuk ke kawasan ladang sawit.
Gambar pokok kelapa sawit yang rosak yang dikongsi laman Facebook Felda Tenggaroh Timur 1 akibat kawanan gajah yang masuk ke kawasan ladang sawit.

Beliau mengulas aduan peneroka Felda Tenggaroh Timur 1, Mersing yang dilaporkan bimbang selepas lebih 1,000 tanaman sawit mereka dimusnahkan kawanan gajah dalam tiga kejadian berasingan sejak dua minggu lalu.

Hasil penelitian peneroka dan pengurusan Felda Tenggaroh Timur 1, dilaporkan terdapat dua kawanan gajah yang menyerang di Felda berkenaan iaitu kawanan gajah dari Hutan Simpan Jemaluang dan kawanan gajah Sedeli.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Salman berkata, pengurusan Felda turut diminta membantu membuat kawalan jika terdapat kawanan gajah yang cuba memasuki kawasan berkenaan selain memaklumkan kepada perhilitan.