Kempen Musa Aman mampu pengaruhi pengundi: Penganalisis politik

Musa (kanan) bersama calon Pakatan Nasional bagi Dewan Undangan Klias, Datuk Isnin Aliasnih pada majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri baru-baru ini. - Foto Bernama
Musa (kanan) bersama calon Pakatan Nasional bagi Dewan Undangan Klias, Datuk Isnin Aliasnih pada majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kehadiran bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dalam siri kempen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat sedikit sebanyak mampu mencorak landskap politik negeri ini pada pilihan raya negeri Sabtu ini.

Ini kerana faktor figura seperti Musa berkempen bagi GRS dilihat boleh memberi impak signifikan terhadap keputusan pilihan raya ini.

Intipati ucapan ‘gergasi’ politik Sabah itu sarat dengan pelbagai penjelasan yang boleh membentuk atau mengubah corak pemikiran pengundi, sekali gus memberi ruang kepada mereka membuat pilihan terbaik dalam menentukan kerajaan negeri baharu, demikian menurut penganalisis politik.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, ketokohan Musa dalam arena politik negeri berupaya membakar semangat pengundi bagi mengekalkan sokongan terhadap calon-calon GRS yang bertanding pada PRN Sabah kali ini.

“Kehadiran Musa juga sedikit sebanyak memberi dorongan semangat kepada calon-calon GRS khususnya Barisan Nasional (BN) untuk menggalakkan penyokong mengekalkan sokongan kepada mereka,” katanya kepada Bernama.

GRS terdiri daripada BN, Perikatan Nasional (PN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sementara itu, Penyelidik Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, kehadiran Musa yang turut dikenali sebagai ‘arkitek’ pembangunan negeri itu semestinya memberi impak kepada kempen GRS khususnya BN dan PN kerana beliau masih mempunyai pengikut tegar.

“Ucapan dan penjelasan beliau dalam pelbagai hal ketika membantu kempen calon GRS bertanding juga mampu memberi impak kerana beliau telah berjasa kepada Sabah dan ini boleh mempengaruhi pengundi untuk membuat pilihan terbaik pada pilihan raya ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Pensyarah kanan politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang, kehadiran Musa dalam setiap kempen calon-calon GRS melenyapkan spekulasi mahupun persepsi bahawa beliau mungkin akan ‘membalas balik’ atau sabotaj kerana tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya kali ini.

“Kehadiran Musa dalam kempen itu juga menjadi suntikan sokongan moral kepada jentera GRS selain mengembangkan tenaga, sumber dan usaha secara bersama. Ini juga menguatkan hubungan penaungan Musa dan juga penyokong BN,” katanya.

Tony berkata, kehadiran Musa dalam siri kempen GRS juga membuktikan bahawa beliau tidak boleh dibelakangkan khususnya oleh BN dan PN dalam pilihan raya kali ini kerana figura menerajui Sabah selama 15 tahun sejak 2003 hingga 2018 itu adalah pemimpin yang masih kuat pengaruhnya dalam landskap politik negeri.

Selepas ‘hilang’ dari radar penamaan calon PRN Sabah, Musa membuat kejutan muncul dalam majlis dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Beaufort, Khamis lepas, dengan segak berbaju batik, memegang tongkat dan memakai pelitup muka.

Pada hari berikutnya, Musa dilihat turun padang membantu kempen calon-calon GRS di DUN Kiulu, DUN Tamparuli, DUN Sulaman dan DUN Pantai Dalit seterusnya menggunakan kesempatan itu untuk bertemu dengan para pengundi di kawasan berkenaan.

Pada program kempennya yang diteruskan ke seluruh Sabah, Musa turut ‘mengubat kerinduan’ para penduduk dengan menyampaikan beberapa rangkap pantun yang sememangnya menjadi 'trademark' beliau setiap kali berucap semasa menjadi ketua menteri dahulu.

Pada 29 Julai, Musa yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, menggegar landskap politik Sabah apabila mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Situasi itu seterusnya menyebabkan pembubaran DUN diumumkan ketua menteri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan 12 September sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 26 September ini. - Bernama