Geng Amir Kenji aktif pecah sekolah, pejabat tumpas

Mohd Noor (dua dari kiri) menunjukkan barang kes yang dirampas pada sidang media di IPD Kuantan.
Mohd Noor (dua dari kiri) menunjukkan barang kes yang dirampas pada sidang media di IPD Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Tiga lelaki berusia 22 hingga 37 tahun yang dipercayai ahli Geng Amir Kenji ditahan di hadapan sebuah bank di Taman Tas di sini dalam operasi kira-kira jam 6.30 petang, 13 September lalu.

Kumpulan berkenaan dikatakan terlibat dengan 19 kejadian pecah sekolah dan pejabat sekitar daerah ini sejak 30 Julai lalu dengan modus operandi beroperasi pada waktu tengah malam hingga jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, anggaran kerugian untuk kesemua kes itu dilaporkan mencecah RM35,000.

"Susulan tangkapan itu polis menahan seorang lagi lelaki di Indera Mahkota kerana terlibat membeli barangan yang dicuri kesemua suspek," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas tujuh telefon bimbit, tiga komputer riba, tujuh beg pelbagai jenis, empat bentuk cincin, satu uncang wang syiling pelbagai nilai, seunit dron dan seutas jam tangan.

"Kesemua mereka didapati mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan jenayah sama serta dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah dan kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 22 September untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: