Kluster Ara - Pulau Pinang belum perlu PKPD

Kon Yeow (kanan) meninjau Tadika Whytehouse di Komtar selepas merasmikan pembukaannya tadi.
Kon Yeow (kanan) meninjau Tadika Whytehouse di Komtar selepas merasmikan pembukaannya tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang masih belum di peringkat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) walaupun wujud Kluster Ara di daerah barat daya negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, masih terlalu awal untuk melaksanakan PKPD berikutan hanya dua daripada 14 individu dari kluster tersebut positif koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, kluster itu kes indeks membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dan anak saudaranya.

"Pengesanan kontak rapat kes indeks telah dilakukan sebelum kes ini sudah diumumkan. Buat masa ini masih belum dapat ditentukan jumlah penyebaran dan kes baharu daripada kelompok tersebut.

"Kita akan memantau berapa kes baharu yang akan dicatatkan dari kluster ini dan akan mengambil beberapa hari untuk melihat perkembangan kes sama ada akan terhenti atau tersebar," katanya pada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Tadika Whytehouse di Tech Dome, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan memberi taklimat kepada kerajaan negeri jika situasi semakin membimbangkan.

Kon Yeow berkata, kes kedua dalam kluster tersebut membabitkan pelajar sekolah rendah di kawasan Sungai Ara namun sekolah tersebut tidak ditutup.

"Hanya pelajar yang berada dalam kelas yang sama dengan kes kedua (anak saudara kes indeks) sahaja dijalankan ujian saringan manakala sekolah tidak ditutup," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster baharu Covid-19 di Pulau Pinang

Artikel Berkaitan:

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan satu kluster baharu iaitu Kluster Ara di Pulau Pinang

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster itu yakni kes ke-10,024 dikesan positif wabak melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Sandakan, Sabah pada 15 September lalu.