Bicara kes Ahmad Zahid tangguh, tunggu keputusan ujian Covid-19

Ahmad Zahid (dua dari kanan) hadir di perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid (dua dari kanan) hadir di perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi hari ini dan esok ditangguhkan selepas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjalani ujian Covid-19 tengah hari tadi.

Hakim, Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan tersebut sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 kedua Presiden UMNO itu.

Ketika prosiding, peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid berkata, pihak pembelaan memohon maaf kepada mahkamah kerana anak guamnya tidak dapat hadir pada sesi petang prosiding yang dijadualkan berlangsung jam 2.30 petang.

Ini kerana katanya, Ahmad Zahid baru sahaja menjalani ujian Covid-19 di KPJ Tawakkal KL Specialist Hospital dan keputusannya negatif.

Bagaimanapun beliau berkata, keputusan kedua ujian berkenaan hanya akan diketahui dalam masa 24 jam.

“Kami menjangkakan keputusan ujian kedua akan diketahui petang esok, maka kami berharap perbicaraan hari ini dan esok akan ditangguhkan,” katanya.

Sementara itu, tiada bantahan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran.

Namun Raja Rozela berkata, pihaknya memohon pasukan pembelaan dapat memaklumkan perkembangan berhubung perkara itu secepat mungkin sebelum perbicaraan bermula minggu depan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding disambung Isnin depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin UMNO positif Covid-19 selepas berkempen di Sabah