Taman tema luar Genting SkyWorlds guna sistem beratur maya

Taman tema luar Genting SkyWorlds yang akan dibuka tahun hadapan mempunyai pelbagai permainan, tarikan dan pertunjukan serta menawarkan pengalaman yang tidak pernah dialami di rantau ini.
Taman tema luar Genting SkyWorlds yang akan dibuka tahun hadapan mempunyai pelbagai permainan, tarikan dan pertunjukan serta menawarkan pengalaman yang tidak pernah dialami di rantau ini.
A
A
A

RESORT World Genting akan melaksanakan Penyelesaian Sistem Beratur Maya (Virtual Que Solution) yang dijana oleh Alibaba Cloud di taman tema luar Genting SkyWorlds.

Kerjasama Genting Malaysia Berhad bersama anak syarikat bahagian teknologi digital dan penyelesaian pintar itu dimeterai di Apsara Conference 2020 yang berlangsung baru-baru ini.

Naib Presiden Taman Tema Resorts World Genting, Greg Pearn berkata, sistem terbaru itu akan menyatukan teknologi Alibaba Cloud terkini dengan sistem tempahan bagi tunggangan individu untuk memberikan pengalaman yang lancar dan interaktif dari mula hingga akhir.

Menurutnya, Virtual Que (VQ) Solution oleh Alibaba Cloud adalah sistem komprehensif yang menggunakan sistem Kecerdasan Buatan (AI) dan menyatukan lima modul algoritma iaitu Ramalan Dinamik Slot VQ (Dynamic VQ Slot Prediction), Pengurusan Gamifikasi Dinamik (Dynamic Gamification Management), Perancangan Penjadualan (Itinerary Planning), Penawaran Insentif (Incentive Recommendation) serta Analisis Khalayak dan Ramalan (Crowd Analysis and Prediction).

Katanya, kesemua modul itu digabungkan menjadi sistem pengurusan pengunjung yang efisien dan dapat mengurangkan masa menunggu secara dinamik dan membolehkan pengunjung menerima insentif.

“Di Resorts World Genting, kami mengutamakan keseronokan pengunjung. Apabila Genting SkyWorlds dibuka tahun hadapan, pengunjung akan disambut dengan taman tema bertaraf dunia yang mempunyai pelbagai permainan, tarikan, pertunjukan dan pengalaman yang tidak pernah dialami di rantau ini.

"Melalui kerjasama antara Resorts World Genting dan Alibaba Cloud, VQ Solution akan mengurangkan masa menunggu ketika beratur dan memberi peluang kepada pengunjung menggunakan masa sebaik mungkin di SkyWorlds dan kawasan sekitar resort.

"Kami begitu teruja untuk menggunakan sistem moden ini bagi memberikan pengalaman yang lebih efisien dan menyeronokkan serta unik kepada Resorts World Genting," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus Besar Alibaba Cloud Intelligence Malaysia, Jordy Cao berkata, pihaknya menyokong Resorts World Genting dalam usaha transformasi digital untuk meningkatkan pengalaman pengunjung Genting SkyWorlds melalui penyelesaian dan produk yang lebih stabil dan selamat.

"Kami harap kerjasama ini akan memberikan keputusan positif apabila taman tema ini dibuka dan membuka ruang untuk inovasi terkini,” katanya.

VQ Solution akan membolehkan pengunjung merancang pengalaman taman tema mereka sebelum tiba ke lokasi dengan memuat turun aplikasi mudah alih VQ Mobile Genting SkyWorlds dan membeli tiket dalam talian.

Apabila tiket ditempah, aplikasi VQ Mobile membolehkan pelanggan merancang perjalanan atau menyediakan alternatif yang mengoptimumkan jadual perjalanan bagi memberikan pengalaman tersendiri berdasarkan pilihan mereka.

Dengan menilai permintaan dan bekalan setiap tarikan secara berterusan, Alibaba Cloud VQ Solution membolehkan pengunjung melihat slot VQ yang ada dan tempoh menunggu setiap permainan dalam masa sebenar.

Ia juga membolehkan mereka terus ke laluan singkat dan memotong barisan, malah pengunjung akan menerima jadual saranan yang mempunyai cadangan tarikan bersesuaian untuk dinikmati ketika menunggu giliran.

Pengunjung yang membeli tiket secara luar talian pula boleh memuat turun aplikasi tersebut selepas tiba atau menggunakan kiosk VQ di dalam taman tema untuk menikmati pengalaman yang sama.

VQ Solution turut membolehkan Genting SkyWorlds menghasilkan insentif untuk melencongkan pengunjung dari kawasan sesak ke kawasan tanpa tarikan atau kemudahan seperti tempat makan dan pusat membeli-belah.

Insentif juga akan diberikan kepada pengunjung yang terus menggunakan aplikasi VQ Mobile untuk menempah slot VQ dan mengikut jadual disyorkan.