X

Kindly register in order to view this article
!

Piala Dunia 2022: Agong zahir ucapan tahniah kepada Qatar

Al-Sultan Abdullah menerima menghadap Duta Besar Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud di Istana Negara hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengucapkan tahniah kepada kerajaan Qatar atas kejayaan menguruskan persiapan segala aspek penganjuran Piala Dunia 2022 ketika dunia masih bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19.

Perkara itu dizahirkan Seri Paduka Baginda ketika menerima menghadap Duta Besar Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud di Istana Negara, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pada majlis yang berlangsung selama sejam pagi tadi, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat daripada Fahad mengenai persiapan Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022.

"Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima persembahan daripada Duta Besar Qatar replika kesemua lapan stadium yang telah dibina di Qatar bagi Piala Dunia 2022 yang mana setiap stadium bercirikan konsep kehidupan masyarakat Timur Tengah dengan reka bentuk dan seni bina tersendiri," katanya dalam kenyataan.

Stadium tersebut ialah Khalifa International Stadium yang mempunyai 40,000 tempat duduk, Al Bayt Stadium (60,000), Al Janoub Stadium (40,000), Al Rayyan Stadium (40,000), Education City Stadium (40,000), Ras Abu Aboud Stadium (40,000), Al Thumama Stadium (40,000) dan Lusail Stadium (80,000).

Qatar merupakan negara Islam dan negara Timur Tengah pertama dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia edisi ke-22 yang dijadual berlangsung pada akhir November hingga pertengahan Disember 2022.

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima persembahan Fahad replika kesemua lapan stadium yang telah dibina di Qatar bagi Piala Dunia 2022 di Istana Negara hari ini.
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima persembahan Fahad replika kesemua lapan stadium yang telah dibina di Qatar bagi Piala Dunia 2022 di Istana Negara hari ini.

Ahmad Fadil berkata, dalam pertemuan itu, Al-Sultan Abdullah turut menyatakan bahawa baginda mengikuti perkembangan terkini sukan bola sepak dunia khususnya di Asia kerana minat yang mendalam terhadap sukan itu.

Penglibatan aktif Seri Paduka Baginda dalam sukan bola sepak di peringkat domestik dan rantau antarabangsa terserlah menerusi pengalaman baginda menerajui beberapa persatuan sukan di dalam dan di luar negara.

Antara jawatan yang pernah disandang ialah Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Al-Sultan Abdullah juga mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih antara tiga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia untuk penggal 2015-2019.

Susulan daripada pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada awal tahun lepas, Al-Sultan Abdullah melepaskan jawatan-jawatan tersebut selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 34(2) menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang baginya ada apa-apa saraan dan Perkara 34(3) menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial manakala Perkara 34(3) menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menerima apa-apa jua jenis emolumen yang kena dibayar atau terakru kepadanya.

Sementara itu, dari segi perdagangan dua hala, Qatar merupakan negara kelima terbesar dan ketiga terbesar dari segi pasaran eksport serta sumber import untuk Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Barat bagi 2019.

Secara keseluruhan, Qatar merupakan rakan dagang keempat terbesar untuk Malaysia di Asia Barat pada 2019 selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Turki dengan nilai dagangan berjumlah RM3.43 bilion. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!