X

Kindly register in order to view this article
!

Projek Rehabilitasi Sungai Kim Kim dalam Belanjawan Johor 2021

Vidyanathan diberi penerangan oleh Dr Abdull Rahim berkenaan kajian yang dilakukan pihak UTM selepas menyampaikan syarahan bertajuk Penyelidikan Translasional: Pasir Gudang, Pontian dan Kemboja di UTM Skudai, Johor Bahru, hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Projek Rehabilitasi Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang akan diusahakan empat universiti dicadangkan dimasukkan dalam Belanjawan Johor 2021.

Universiti terbabit ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyanathan berkata, kertas cadangan untuk mendapatkan peruntukan projek berkenaan dalam belanjawan negeri sudah dihantar kepada Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad untuk dibentangkan pada hujung tahun ini.

"Setakat ini kita terima maklum balas positif terhadap projek yang bertujuan membangunkan semula kelestarian sungai selain meningkatkan kesedaran komuniti memulihara sungai.

"Projek ini akan dilakukan mengikut fasa bermula dengan UTM pada November ini. Setiap universiti awam tersebut akan memberikan input dan menyumbang kepakaran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas syarahan perdana oleh Profesor Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff bertajuk Penyelidikan Translasional: Pasir Gudang, Pontian dan Kemboja di UTM Skudai dekat sini hari ini.

Gelombang pertama pencemaran Sungai Kim Kim berlaku pada 7 Mac tahun lalu apabila murid Tadika Bestari dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih serta pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih mengalami pening kepala, loya, muntah dan pengsan.

Pada 11 Mac tahun lalu, gelombang kedua dikesan di dua sekolah tersebut sebelum keesokannya turut dialami sembilan sekolah lain.

Keadaan bertambah buruk dan Kementerian Pendidikan pada 13 Mac tahun lalu mengarahkan semua 111 sekolah di daerah ini ditutup diikuti semua institusi pengajian tinggi (IPT).

Vidyanathan berkata, hasil kajian dan cadangan daripada pihak universiti terbabit akan turut melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Projek rawatan dan pemulihan itu katanya, akan menjadikan Sungai Kim Kim bersih daripada pencemaran sisa kilang dan bakal menjadi lokasi riadah.

Ditanya mengenai tahap kebersihan Sungai Kim Kim ketika ini, beliau berkata, pelbagai usaha terus dilakukan kerajaan bagi memastikan pencemaran tidak berulang termasuk penguatkuasaan dan pemeriksaan oleh JAS.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!