KPDNHEP serbu rumah simpan LPG secara haram

Muniandy tengah melihat tong LPG yang dirampas ketika serbuan di Kampung Changhai semalam.
Muniandy tengah melihat tong LPG yang dirampas ketika serbuan di Kampung Changhai semalam.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kubang Pasu merampas 101 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM28,000 di sebuah rumah di Kampung Changhai, Changlun di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu, K Muniandy berkata, penguat kuasa turut menyita dua buah lori dengan nilai keseluruhan rampasan RM54,000.

Menurutnya, ketika serbuan kira-kira jam 11.30 pagi itu, pemilik rumah iaitu seorang wanita berusia 56 tahun mengaku telah memohon lesen untuk menyimpan barang kawalan terbabit, namun belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Muniandy ( kanan) menunjukkan lori satu tan yang disita pihaknya ketika serbuan di Kampung Changhai semalam.
Muniandy ( kanan) menunjukkan lori satu tan yang disita pihaknya ketika serbuan di Kampung Changhai semalam.

"Siasatan lanjut mendapati wanita terbabit menjalankan kegiatan berkenaan sejak sebulan lalu dibantu dua anak lelakinya berusia 20-an," katanya kepada pemberita ketika ditemui di stor KPDNHEP di sini hari ini.

Muniandy berkata, mereka beroperasi dengan memenuhi permintaan di kawasan sekitar Changlun termasuk menghantar LPG ke kedai dan rumah penduduk.

Katanya, pihaknya percaya wanita terbabit mendapat bekalan LPG daripada sebuah syarikat pembekal di Perlis berikutan penemuan resit urus niaga daripada syarikat berkenaan.

"Kita juga sedang menyiasat berhubung perkara itu dan wanita itu dilepaskan dengan jaminan selepas ditahan untuk dirakam percakapan," katanya yang menyiasat kes berkenaan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan: