PAC cuba perangkap saya: Zambry

Zambry (kanan) ketika sidang media di Bangunan Umno Perak, hari ini.
A
A

IPOH - Tindakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak mengadakan sesi pendengaran awam bagi siasatan terhadap Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) tidak mengikut amalan biasa.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mengikut amalan biasa, PAC sepatutnya bertindak memanggil mana-mana individu setelah laporan audit dibentangkan di dalam Dewan Negeri.

Menurutnya, jika berlaku sebarang isu dalam laporan tersebut, maka PAC boleh memanggil sesiapa untuk memberikan penjelasan.

"PAC tidak mempunyai kuasa menghukum, mereka bertanggungjawab untuk mendapatkan laporan, menyiapkan laporan dan dihantar itu semula ke Dewan dan Dewan akan membuat sebarang tindakan atau keputusan selanjutnya.

"PAC ini adalah lanjutan daripada Dun. Segala-galanya yang hendak diputuskan perlu di dalam Dun," katanya kepada pemberita, di Bangunan Umno Perak, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi menjelaskan tindakan meninggalkan sesi pendengaran awam PAC tersebut.

Terdahulu Zambry yang hadir ke Sesi Pendengaran Awam PAC Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini bertindak keluar sebelum prosiding jawatankuasa tersebut bermula.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Zambry keluar sesi pendengaran awam PAC ]

Sementara itu, Zambry turut mendakwa dirinya cuba diperangkap PAC melalui permintaan yang dihantar melalui surat pertama memanggil sesi pendengaran tersebut.

Katanya, antara kandungan surat bertarikh 19 November tersebut menuntut beliau menyediakan bersama laporan berkaitan MB Inc sejak badan itu ditubuhkan.

"Saya menulis semula surat kepada mereka (PAC) menjelaskan adalah sesuatu yang janggal seorang bekas menteri besar diminta membawa laporan dan dokumen MB Inc sedangkan saya tidak lagi mempunyai kuasa eksekutif.

"Malah jika saya bawa dokumen itu, saya boleh didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan dokumen kerajaan," katanya.

Zambry berkata, secara kesimpulannya prosiding yang dibuat oleh PAC itu amat mendukacitakan malah ia merupakan babak dan episod hitam bagi Dun Perak serta PAC.

Beliau seterusnya mengulangi pendirian bahawa tindakan keluar daripada prosiding itu bukan disebabkan takut untuk disoal siasat tetapi bimbang ia dijadikan perkakas politik bagi melunaskan dendam.

Katanya, jika kerajaan PH mahu mencipta sejarah sekalipun biarlah ia mengikut peraturan dan tatacara yang ditetapkan.