Tiga beradik tinggal dalam rumah kotor bersama 13 anjing

Keadaan dalam rumah yang dihuni tiga beradik itu berada dalam keadaan kotor dan dipenuhi najis anjing.
Keadaan dalam rumah yang dihuni tiga beradik itu berada dalam keadaan kotor dan dipenuhi najis anjing.
A
A
A

KUANTAN - Tiga beradik terpaksa tinggal bersama bapa saudaranya dalam rumah yang kotor dan tidak terurus dengan ditemani 13 ekor anjing di Jalan Gambang, Batu 6 di sini selepas ditinggalkan ibunya sejak tiga tahun lalu.

Difahamkan ibu kepada tiga kanak-kanak perempuan berusia 8, 9 dan 12 tahun itu bekerja di Singapura atau Johor Bahru dan sudah tiga tahun tidak pulang menjenguk mereka, manakala bapa mereka yang dipercayai bekerja di Hutan Kuala Rompin juga jarang pulang ke rumah.

Tiga beradik itu terpaksa menjalani kehidupan sendiri dalam rumah yang berbau busuk dengan najis anjing dan sering kelaparan apabila bapa saudaranya itu hanya pulang pada waktu malam.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Taman Tas, Yeoh Kok Bin berkata, pihak sekolah sudah dua kali mengadakan lawatan di rumah yang dihuni tiga beradik itu selepas mendapat tahu kepayahan hidup dilalui mereka.

"Bila ke sana, kita dapati rumah dipenuhi anjing, berbau busuk dengan najis haiwan dan tidak terurus. Tiga beradik ini tidur di atas lantai bersama haiwan ternakan terbabit.

"Jadi, kita bimbang dengan keadaan tiga beradik ini tambahan pula mereka sering kelaparan dan hanya makan mi segera sementara menunggu bapa saudaranya pulang," katanya ketika ditemui di rumah itu di Jalan Gambang, Batu 6 di sini.

Salah seorang daripada tiga beradik berkenaan menunjukkan keadaan rumah dihuni mereka bersama 13 ekor anjing ketika kunjungan pegawai JKM dan Chon Siang hari ini.
Salah seorang daripada tiga beradik berkenaan menunjukkan keadaan rumah dihuni mereka bersama 13 ekor anjing ketika kunjungan pegawai JKM dan Chon Siang hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang dan wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel Berkaitan:

Kok Bin berkata, ketiga-tiga beradik ini mendapat bantuan daripada pelbagai pihak, namun mereka kerap tidak hadir ke sekolah.

Katanya, prestasi pelajaran mereka sangat lemah disebabkan sering tidak hadir ke sekolah sehingga tertinggal pembelajaran setiap hari.

"Kita difahamkan ketiga-tiga adik beradik ini terpaksa berjalan kaki sejauh 800 meter untuk ke sekolah setiap hari.

"Tambahan pula, ayahnya hanya membekalkan RM50 setiap seorang untuk seminggu bagi membolehkan mereka menampung kehidupan sehari-hari," katanya.

Beliau berkata, melihat kepayahan itu menyebabkan pihaknya menghubungi wakil rakyat bagi memastikan mereka ini mendapat penjagaan sewajarnya.

Jelasnya, pihaknya bimbang jika tiga beradik ini dibiarkan akan memberi kesan buruk kepada mereka suatu hari nanti.

Sementara itu, Chon Siang berkata, pihaknya sudah menghubungi JKM untuk menyelesaikan masalah yang dialami tiga beradik ini.

Salah seorang daripada tiga beradik berkenaan menunjukkan keadaan rumah dihuni mereka bersama 13 ekor anjing ketika kunjungan pegawai JKM dan Chon Siang, hari ini.
Salah seorang daripada tiga beradik berkenaan menunjukkan keadaan rumah dihuni mereka bersama 13 ekor anjing ketika kunjungan pegawai JKM dan Chon Siang, hari ini.

"Saya sedih bila mendapat tahu anak-anak ini dibiarkan hidup bersendirian dan selalu dalam keadaan kelaparan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainal Abidin berkata, pihaknya sudah mengadakan lawatan di rumah yang didiami ketiga-tiga beradik itu dan perbincangan dengan bapa saudaranya sedang dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, kesemua kanak-kanak itu akan ditempatkan di tempat selamat bagi satu tempoh sementara.

"Tindakan itu diambil demi kesejahteraan mereka dan lokasi penempatan itu telah dikenalpasti," katanya.