Sarjan polis terima rasuah didenda RM20,000

No Image Caption
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang sarjan polis didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,000, Oktober tahun lalu.

Tertuduh Mohd Azani Mohd Khalid, 34, yang bertugas di Pejabat Polis (IPD) Alor Gajah mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Azani sebagai penjawat awam di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menerima wang tunai RM4,000 daripada seorang wanita yang mana mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai penyiasat kes ke atas seorang lelaki yang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Taman Bidara Permai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah kira- kira jam 1.30 tengah hari pada 9 Oktober 2019.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat ketika pendakwaan berkata, tertuduh melakukan kesalahan serius kerana menerima suapan bersabit tugas rasmi.

"Mohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam, selain tertuduh juga pergi sendiri ke rumah wanita terbabit tanpa ada perasaan takut," katanya.

Semenatar itu, peguam Azrul Zulkifli Stork merayu mahkamah memberikan hukuman denda tanpa penjara terhadap anak guamnya kerana pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa semua pihak.

"Selain kesalahan pertama tertuduh juga berdepan kehilangan pekerjaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM20,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.