Ugutan Muhyiddin langgar Perjanjian Malaysia 1963: Guan Eng

LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG
A
A
A

SHAH ALAM - DAP mendakwa ugutan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyekat pembangunan infrastruktur bagi Sabah mengkhianati semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Setiusaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Muhyiddin telah mengugut rakyat Sabah bahawa kerajaan Persekutuan hanya dapat memberikan peruntukan kepada negeri tersebut sejauh mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Muhyiddin turut menyatakan bahawa Sabah akan mendapat peruntukan lebih rendah berbanding daripada sebelumnya jika negeri itu dipimpin Parti Warisan Sabah dan Warisan Plus tidak sehaluan dengan Perikatan Nasional (PN).

"Ini menidakkan Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan pembentukan Malaysia dan Suruhanjaya Cobbold, sebagai pendahulu Perjanjian Malaysia 1963. Lord Cobbold selaku Pengerusi menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak ialah rakan kongsi setara dengan Semenanjung Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Lebih banyak bantuan jika Sabah sehaluan: PM

Beliau turut mempersoalkan adakah Sabah boleh dianggap sebagai rakan kongsi setara jika Perdana Menteri boleh mengugut rakyat Sabah untuk menyekat pembiayaan pembangunan yang dijanjikan.

"Ini tiada beza dengan tindakan buli siber Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin terhadap Veveonah Mosibin setelah Veveonah mendedahkan capaian internet yang lemah di luar bandar Sabah dengan memanjat pokok.

"Daripada menyelesaikan masalah capaian internet yang buruk di luar bandar Sabah, dia memanggil Veveonah sebagai pembohong dan ingin mencari populariti untuk dirinya. Orang Sabah tidak boleh membiarkan diri mereka dibuli dengan penghinaan dan ugutan seperti ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, rakyat Sabah harus memberi pengajaran kepada Muhyiddin dengan mengundi Warisan Plus dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menghantar mesej yang jelas mereka menentukan siapa yang akan dipilih sebagai kerajaan serta Ketua Menteri mereka.

"Lebih penting lagi rakyat Sabah tidak akan tunduk pada ugutan seperti ini dan akan bersatu untuk memastikan semangat dan surat Suruhanjaya Cobbold dan Perjanjian Malaysia 1963 dipatuhi.

"Muhyiddin perlu faham bahawa sama seperti tanpa Sabah tidak ada Malaysia, begitu juga tanpa sokongan orang Sabah, tidak ada yang boleh dipilih menjadi Ketua Menteri. Bagaimana Muhyiddin boleh memanggil dirinya Abah Sabah ketika dia tidak melakukan apa-apa untuk Sabah," soalnya.