26,572 rakyat Malaysia terkandas di luar negara selamat pulang

Sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara kembali ke tanah air. - Foto Bernama
Sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara kembali ke tanah air. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar memudahcara seramai 26,572 rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara untuk kembali ke tanah air susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, kesemua mereka dibawa pulang ke Malaysia melalui 528 penerbangan dari 94 negara.

“Jumlah ini termasuk 20 anggota jemaah tabligh Malaysia ditahan dan dibawa ke mahkamah di India yang berjaya dibawa pulang tiga hari lepas.

“Sekarang hanya tinggal 56 orang dilaporkan masih terkandas di luar negara, sementara menunggu lapangan terbang dibuka semula dan penerbangan komersial beroperasi seperti biasa,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Alan Ling Sie Kiong, yang ingin tahu usaha dilakukan kementerian bagi memastikan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, berada dalam keadaan selamat dalam tempoh penularan Covid-19.

Menurutnya, kementerian itu menganggarkan seramai 457,000 rakyat Malaysia berada di luar negara setakat ini, bagaimanapun jumlah sebenar masih tidak dapat dimuktamadkan kerana tidak semua daripada mereka berdaftar dengan perwakilan Malaysia.

Dalam hal ini, beliau menasihatkan semua rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara untuk berdaftar dengan perwakilan Malaysia terdekat dan mengambil visa yang betul bagi memudahkan sebarang bantuan dihulurkan.

Jelasnya, perwakilan Malaysia kini bertindak sebagai petugas barisan hadapan, bagi memastikan rakyat Malaysia yang terjejas akibat Covid-19 diberi bantuan sewajarnya termasuk rawatan perubatan dan memudahcara perjalanan pulang ke tanah air.

Artikel Berkaitan:

“Perwakilan kita juga berhubung rapat dengan komuniti yang menetap di luar negara untuk menyampaikan sebarang maklumat terkini berkenaan Malaysia. Kita juga berterima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan, kerana membantu kementerian dalam hal ini,” katanya. - Bernama