Pengurangan 50 peratus kadar iklan 'billboard'

Mohamd Fariz
Mohamd Fariz
A
A
A

SERI MANJUNG - Kadar iklan papan iklan premis perniagaan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dikurangkan sebanyak 50 peratus bermula Januari tahun ini.

Yang Dipertua MPM, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, pengurangan berkenaan melibatkan semua permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan bagi papan iklan premis perniagaan bersaiz 18.5 meter persegi dan ke atas.

“Kadar bayaran asal lesen iklan bagi papan iklan untuk saiz minimum 19 meter persegi adalah RM1,440 bagi iklan bercahaya dan RM1,600 bagi iklan tidak bercahaya.

“Selepas pengurangan 50 peratus kadar bayaran tersebut akan turun kepada RM720 bagi iklan bercahaya dan RM800 bagi iklan tidak bercahaya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Fariz berkata, tiada pengurangan kadar bayaran bagi lesen iklan melibatkan papan iklan luar.

“Langkah ini adalah berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Bil. 1943 bertarikh 27 Jun 2018 berkaitan pengurangan 50 peratus kadar bayaran lesen iklan bagi papan iklan premis perniagaan bersaiz 18.5 meter persegi dan ke atas dalam kawasan Pihak berkuasa Tempatan (PBT) Perak,” katanya.

Artikel Berkaitan: