Cadangan kenaikan bantuan bulanan JKM tepat pada masanya

Warga emas, Rosnah Awang, 80, (kiri) terharu apabila menerima kunjungan daripada Rina (kanan) di Petagas hari ini.
Warga emas, Rosnah Awang, 80, (kiri) terharu apabila menerima kunjungan daripada Rina (kanan) di Petagas hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Cadangan kenaikan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 adalah tepat pada masanya dan bersesuaian dalam membantu golongan memerlukan berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) serta keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kenaikan bantuan itu yang ketika ini berjumlah antara RM200 dan RM300 jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan yang peka dengan perkembangan semasa.

“Pengumuman itu kita lihat sebagai satu keputusan yang nampak jelas keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban penerima bantuan JKM,” kata Ketua Srikandi Bersatu selepas melawat kediaman beberapa penerima bantuan JKM di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas.

Beliau berkata, menerusi ziarah dan lawatan pegawai kementeriannya, maklumat mengenai kesusahan penerima bantuan JKM dapat disalurkan terus kepada pengurusan tertinggi untuk tindakan lanjut seperti cadangan kenaikan elaun yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Muhyiddin dilapor mengusulkan agar bantuan bulanan JKM dinaikkan dan cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat Jemaah Menteri untuk diputuskan.

Usaha itu antara aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin bagi membantu golongan memerlukan. - Bernama

Artikel Berkaitan: