KSSB buka peluang kerjaya

Seramai 11 graduan lepasan ijazah dari pelbagai bidang terpilih untuk menjalani Program Pelatih Graduan KSSB yang bermula 3 Ogos lalu.
Seramai 11 graduan lepasan ijazah dari pelbagai bidang terpilih untuk menjalani Program Pelatih Graduan KSSB yang bermula 3 Ogos lalu.
A
A
A

KUMPULAN Semesta Sdn Bhd (KSSB) membuka peluang kerjaya untuk graduan lepasan ijazah dengan melaksanakan Program Pelatih Graduan bermula pada 3 Ogos lalu.

Program yang pertama kali diperkenalkan oleh anak syarikat kerajaan negeri Selangor itu bermatlamat untuk membantu graduan lepasan ijazah yang belum mendapat pekerjaan bersesuaian dengan bidang pengajian mereka untuk mendapat latihan kerja secara komprehensif serta membuka ruang dan peluang kepada graduan untuk menimba pengalaman kerja dalam bagi mempersiapkan diri sebelum menempuh alam pekerjaan.

Program Perantis KSSB menyasarkan graduan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan yang tidak mendapat pekerjaan setaraf dengan kelayakan akademik dan bidang pengajian masing-masing sekurang-kurangnya setahun selepas tamat belajar.

Keutamaan diberikan kepada anak-anak negeri Selangor atau graduan lulusan institusi pengajian tinggi di bawah kelolaan kerajaan negeri Selangor atau institusi pengajian tinggi dalam negeri ini.

Ketua Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran KSSB, Ahmad Hakimi Abd Hamid berkata, seramai 11 graduan lepasan ijazah daripada pelbagai bidang terpilih untuk menjalani program yang julung kali dianjurkan itu.

Beliau yang juga Penyelaras Program berkata, peserta Program Perantis KSSB akan menjalani latihan selama 12 bulan berdasarkan program latihan komprehensif yang meliputi penempatan dan pendedahan dalam semua jabatan serta penempatan di tapak-tapak operasi KSSB.

Ahmad Hakimi
Ahmad Hakimi

Katanya, kesemua peserta diberikan pendedahan berkenaan fungsi dan tanggungjawab setiap jabatan serta operasi syarikat secara keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

“Program ini sekali gus memberikan persediaan kepada lepasan ijazah sebelum mereka menempuh alam pekerjaan sebenar.

“Ini merupakan salah satu inisiatif bagi memberi ruang dan peluang kepada graduan yang terpilih untuk menimba ilmu pengetahuan dalam mempersiapkan diri sebelum menempuh alam pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, graduan yang mengikuti program tersebut turut berpeluang untuk diserap menjadi kakitangan KSSB dan pemilihan akan dijalankan berdasarkan kekosongan jawatan dan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka.

Menurutnya, bagi memastikan pelaksanaan dan implementasi Program Perantis KSSB berjalan lancar serta mencapai matlamatnya, setiap pelatih akan mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada mentor yang terdiri dalam kalangan kakitangan eksekutif serta juga ketua-ketua Jabatan di KSSB.

“Sepanjang tempoh latihan, setiap perantis ditugaskan untuk menyediakan dan membentangkan pelbagai bentuk laporan di hadapan panel-panel yang terdiri daripada kalangan kakitangan KSSB sendiri,” katanya.