Mudahnya rakyat Malaysia diperdaya

Sindiket Macau Scam hanya memerlukan telefon bimbit dan internet untuk mencuba nasib mencari mangsa tanpa menggunakan tenaga yang banyak.
Sindiket Macau Scam hanya memerlukan telefon bimbit dan internet untuk mencuba nasib mencari mangsa tanpa menggunakan tenaga yang banyak.
A
A
A

KES penipuan melibatkan sindiket Macau Scam bukanlah perkara baharu di negara kita malah dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Hampir setiap hari, akhbar dan portal berita menyiarkan kisah-kisah masyarakat yang menjadi mangsa penipuan.

Kerugian mereka bukanlah melibatkan jumlah yang sedikit, ada yang mencecah sehingga ratusan ribu atau jutaan ringgit.

Lebih mengejutkan mangsa bukanlah calang-calang ‘orang’ kena tipu kerana ada dalam kalangan mereka merupakan golongan profesional.

Terbaharu kes melibatkan seorang pesara guru dari Johor Bharu kerugian hampir setengah juta ringgit selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa beliau terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Sindiket tersebut memperdaya mangsa melalui panggilan telefon dengan menyamar sebagai pegawai dan anggota pihak berkuasa hingga menyebabkan mangsa panik dan menurut sahaja kehendak si scammer untuk memindahkan wang ke akaun tertentu.

Mangsa membuat beberapa pemindahan wang dalam tempoh hampir tiga minggu dan hanya menyedari terpedaya setelah menerima panggilan dan ugutan baharu daripada si scammer yang mencari peluang untuk memerah lebih banyak hasil.

Berdasarkan laporan yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, kira-kira RM6.2 bilion nilai kerugian melibatkan jenayah komersial direkodkan pada Januari sehingga Disember tahun lepas.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihaknya telah membuka 25,000 kertas siasatan sepanjang tempoh itu melibatkan jenayah komersial.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kebanyakan sindiket penipuan berkenaan masih menggunakan modus operandi sama untuk memperdayakan orang ramai, namun masih ada mangsa yang mempercayainya.

Terpedaya

Masyarakat perlu bersikap lebih peka dan melakukan semakan dengan pihak berkuasa atau agensi yang terbabit sekiranya menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meragukan.

Jangan dedahkan maklumat peribadi. Jangan terlalu cepat percaya hingga terus melakukan transaksi bank kepada individu tidak dikenali demi mengelakkan diri daripada menanggung kerugian.

Realitinya, sindiket Macau Scam hanya memerlukan telefon bimbit dan internet untuk mencuba nasib mencari mangsa tanpa menggunakan tenaga yang banyak.

Mereka mencari mangsa tanpa mengenal latar belakang. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja daripada golongan profesional sehinggalah kepada kelompok pesara kerajaan, nelayan, petani, kakitangan kerajaan dan swasta termasuklah warga emas, pelajar mahupun suri rumah sekalipun kesemuanya berisiko menjadi sasaran jenayah tanpa sempadan ini.

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF

Pendek kata, jika tidak berhati-hati menjawab panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali, sesiapa sahaja bakal menjadi mangsa!

Menurut pakar sains komputer, Profesor Dr Norita Md Norwawi, scammer menguasai dengan baik perkembangan teknologi dan menggunakan kemahiran untuk memanipulasi individu yang berpotensi menjadi mangsa penipuan.

Katanya, faktor orang ramai yang kurang pendedahan mengenai kegiatan scammer juga menyumbang kepada jenayah berkenaan terus berleluasa dan scammer mengambil kesempatan atas keadaan tersebut.

Sehingga kini pihak berkuasa giat menjalankan kempen kesedaran mengenai penipuan kewangan dan jenayah scammer bagi mengelakkan lebih ramai masyarakat menjadi mangsa penipuan.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, bagaimana scammer boleh mendapatkan nombor dan maklumat peribadi mangsa? Persoalan itu ada baiknya kita serahkan kepada kepakaran pihak berkuasa untuk menanganinya.

Namun apa yang paling penting ialah kesedaran masyarakat mahupun individu itu sendiri untuk sentiasa peka, beringat dan bersikaplah lebih bijak agar tidak menjadi mangsa scammer!