Seksyen 17A senjata baharu SPRM

No Image Caption
A
A
A

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah punyai cukup senjata perundangan untuk membanteras kegiatan rasuah di negara ini.

Selain undang-undang utamanya Akta SPRM 2009, agensi awam itu boleh menggunakan beberapa statut lain, termasuklah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan Kanun Keseksaan.

Oleh itu, kenapakah satu peruntukan baharu (seksyen 17A) perlu diluluskan oleh Parlimen di bawah Akta A1567, diwartakan pada 4 Mei 2018 lalu dan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020 lalu?

Jawabnya, supaya 'dosa perasuah' itu boleh dikenakan juga (dipalitkan) kepada pengurusan atasan dan entiti korporat di mana perasuah itu menjadi warga kerjanya atau sekutunya.

Dalam bahasa undang-undang, peruntukan baru ini mewujudkan corporate liablity (kebertanggungjawab korporat), iaitu suatu situasi yang sebelum ini sukar dibuktikan.

Seksyen 17A menjadi senjata kuat SPRM kerana peruntukan ini menggunakan anggapan undang-undang (presumption of law). Di bawah anggapan undang-undang ini apabila seorang warga kerja atau sekutu organisasi komersial itu melakukan rasuah atau memberi suapan, maka pengurusan atasan dan entiti korporat itu juga turut bersalah kecuali mereka boleh membuktikan sebaliknya (mematahkan anggapan ini).

Seksyen 17A (1) menyatakan bahawa suatu organisasi komersial itu melakukan kesalahan sekiranya “seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial itu” melakukan rasuah atau memberi suapan kepada mana-mana orang dengan niat memperoleh atau mengekalkan perniagaan bagi organisasi komersial itu, atau memperoleh atau mengekalkan faedah dalam menjalankan perniagaan bagi organisasi komersial itu.

Objektif utama seksyen 17A adalah memastikan perniagaan entiti korporat itu dapat dijalankan dalam persekitaran bebas rasuah.

Di bawah seksyen 17A (6) seorang itu 'bersekutu' dengan organisasi komersial itu sekiranya dia ialah seorang pengarah, pekongsi atau pekerja organisasi komersial itu atau adalah orang yang melaksanakan perkhidmatan untuk atau bagi pihaknya.

Andainya suatu organisasi komersial itu disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17A ini, ia boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, atau dipenjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun ia boleh membela diri (terlepas dari liabiliti korporat) jika dapat menunjukkan kepada mahkamah bahawa ia melaksanakan “Tatacara Mencukupi' dalam operasinya – Seksyen 17A (4).

Artikel Berkaitan:

Bagi membantu organisasi komersial melaksanakan 'Tatacara Mencukupi' dalam operasinya, satu garis panduan telah dikeluarkan di bawah seksyen 17A (5). Tujuan utama garis panduan ini adalah membantu organisasi komersial mencegah berlakunya rasuah dalam aktiviti perniagaannya.

Tiga penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman enam hari bermula hari ini sehingga 19 Ogos depan.
Tiga penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman enam hari bermula hari ini sehingga 19 Ogos depan.

Garis panduan ini mengandungi lima prinsip utama yang mesti diamalkan, dikenali dengan akronim TRUST, iaitu top level commitment (komitmen pengurusan tinggi); risk assessment (analisis risiko); undertake control measures (pelaksanaan langkah kawalan); systematic review, monitoring and enforcement (pemantuan, penilaian dan penguatkuasaan secara sistematik); dan training and communication (latihan dan komunikasi).

Dokumen garis panduan setebal 18 halaman ini diterbitkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Jabatan Perdana Menteri.

Takrif organisasi komersial

Istilah organisassi komersial ditakrif oleh seksyen 17A (8) sebagai bererti –

a. Suatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain.

b. Suatu syarikat di mana jua diperbadankan dan menjalankan perniagaan atau sebahagian daripada perniagaan di Malaysia.

c. Suatu perkongsian di bawah Akta Perkongsian 1961 (Akta 135) atau perkongsian liabiliti terhad di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 (Akta 743) yang menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain; atau

d. Suatu perkongsian di mana jua ditubuhkan dan menjalankan perniagaan atau sebahagian daripada perniagaan di Malaysia.

Di bawah seksyen 17A (3), sekiranya suatu kesalahan rasuah itu dilakukan oleh organisasi komersial, maka sesiapa sahaja yang menjadi pengarah, pengawal, pegawai atau pekongsinya, atau yang terlibat dengan pengurusan hal ehwalnya pada masa kesalahan itu dilakukan adalah “disifatkan telah melakukan kesalahan itu melainkan jika orang itu membuktikan bahawa kesalahan itu dilakukan tanpa keizinannya atau pembiarannya dan bahawa dia telah menjalankan segala usaha yang wajar dilakukannya untuk menghalang pelakuan kesalahan itu dengan mengambil kira jenis fungsinya atas sifat itu dan kepada hal keadaan.”

Seksyen 17A(3) ini mengandungi dua elemen penting. Pertama ia mengandungi elemen anggapan undang-undang, bahawa apabila suatu organisasi komersil melakukan kesalahan, pihak pengurusan atasan seperti yang disebutkan disitu “disifatkan” (dianggap) melakukan kesalahan juga. Kedua, ia juga mengandungi elemen pembelaan, iaitu sekiranya pengurusan atasan itu boleh membuktikan kesalahan itu dilakukan bukan dengan izinnya atau bukan kerana ia membiarkannya berlaku, dan selain itu dia juga telah menjalankan usaha yang wajar untuk menghalang kesalahan itu dilakukan, maka pengurusan atasan itu tidak boleh disalahkan.

Sebelum peruntukan baru ini wujud, pendakwaan di bawah Akta SPRM 2009 biasanya lebih tertumpu kepada individu yang melakukan aktiviti rasuah, manakala pengurusan atasan dan organisasi komersil itu “terlepas” begitu sahaja, walaupun hakikatnya mereka yang menerima manfaat dari aktiviti rasuah warga kerja mereka. Seksyen 17A kini membetulkan keadaan silam dan meletakkan liabiliti korporat kepada mereka.

Mengikut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, kerajaan mewujudkan peruntukan baru ini bagi memenuhi tanggungjawabnya di peringkat antarabangsa di bawah Artikel 26 Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNAC).

Beliau mengesyorkan organisasi komersial tempatan mewujudkan “polisi pencegahan rasuah” mereka sendiri, selain mendapatkan pensijilan seperti MS ISO 37001 Anti-Bribery Management System daripada badan pensijilan sedia ada, atau pun menyertai program Ikrar Integriti Korporat yang dikendalikan SPRM bagi mengurangkan risiko amalan rasuah warga kerja mereka pada masa depan.

*Profesor Datuk Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan dan Pakar Undang-Undang