Jawatankuasa khas bincang peningkatan kes Covid-19 di Sabah

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

SANDAKAN - Jawatankuasa Khas Kabinet akan membincangkan mengenai peningkatan kes Covid-19 di negeri ini menjelang pengundian pilihan raya negeri pada 26 September ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan mengenai perkara tersebut akan dibuat pada mesyuarat mingguannya Selasa ini.

“Kita memang mengadakan mesyuarat mingguan mengenai isu Covid-19. Tetapi mengenai peningkatan kes di Sabah ini akan dibincangkan pada Selasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Kasih di Sekong dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan terkini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 52 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas, 36 kes dilaporkan di Sabah.

Setakat semalam, terdapat satu kes positif di Sandakan, tiga kes positif bagi kluster Bakau di Semporna, 399 kes positif di Tawau dan 551 kes positif kluster Benteng Lahad Datu.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan terdapat seorang pemimpin parti politik dari Semenanjung Malaysia dikatakan positif Covid-19 semasa berkempen di Sabah, Ismail Sabri berkata, beliau tidak menerima laporan rasmi mengenai perkara itu setakat ini.

“Jika perkara itu benar, individu itu perlu menjalani kuarantin dan perlu menjalani rawatan sehingga pulih sepenuhnya sebelum pulang ke Semenanjung Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri mengingatkan orang ramai termasuk ahli politik yang ke Sabah untuk berkempen semasa pilihan raya ini supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: