Akmal, Adibah kuasai Kejohanan Berbasikal Kebangsaan

Abu Samah (tiga dari kiri) dan Setiausaha Agung PKBM, Datuk Ashakari Abu Noor bersama pemenang acara lepas beramai-ramai elit lelaki semalam.
Abu Samah (tiga dari kiri) dan Setiausaha Agung PKBM, Datuk Ashakari Abu Noor bersama pemenang acara lepas beramai-ramai elit lelaki semalam.
A
A
A

JERSI kebangsaan bertukar hak milik apabila pelumba Sapura Cycling Team (TSC), Akmal Hakim Zakaria muncul juara acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Kejohanan Lebuhraya Kebangsaan 2020 di Rumah Melaka, Bukit Katil, Melaka hari ini.

Kejayaan itu turut menyaksikan Akmal Hakim merampas jersi kebangsaan daripada juara bertahan, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki daripada Terengganu Cycling Team (TSG) sekali gus mengesahkan status elit TSC sebagai pasukan benua nombor satu negara pada ketika ini.

Akmal Hakim bijak memanipulasi kelebihan pada penghujung aksi di garisan penamat bagi menamatkan acara sejauh 182 kilometer dengan catatan masa 4 jam 36 minit 03 saat.

Sementara Nur Amirull Fakhruddin yang sebelum ini membayangkan mampu untuk melakar sejarah muncul pelumba pertama mengekalkan jersi kebangsaan dalam sejarah 10 tahun kejohanan berkenaan turut mencatatkan masa yang sama dengan Akmal Hakim tetapi kecundang di garisan penentuan.

Kejayaan Akmal Hakim bermakna TSC berjaya menyapu bersih tiga daripada empat gelaran utama iaitu juara kebangsaan juara acara lepas beramai-ramai elit lelaki, ujian masa berpasukan (TTT) dan ujian masa individu (ITT).

Bagi acara lepas beramai-ramai bawah-23 tahun dikuasai oleh pelumba Terengganu A, Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim.

Pada perlumbaan berkenaan, TSG yang selama ini dianggap perkasa di persada sukan berbasikal negara menampilkan barisan berpengalaman termasuk menyandarkan harapan kepada dua adik beradik, Mohd Zamri Salleh dan Mohd Harrif Salleh.

TSG bagaimanapun mampu mengubat sedikit kekecewaan apabila Muhammad Afiq Huznie Othman menduduki tempat ketiga keciciran 8 saat di belakang Akmal Hakim dengan catatan keseluruhan 4:36:11s.

Artikel Berkaitan:

Namun, kejutan terbesar semalam sudah pasti milik pelumba Polis Diraja Malaysia (PDRM) Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi yang dianggap pelumba kuda tua apabila melepasi garisan penamat 9 saat di belakang Muhammad Afiq Huznie.

Bagi saingan elit wanita pula menyaksikan pelumba Johor A, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad meneruskan rentak kecemerlangan apabila menguasai acara lepas beramai-ramai sejauh 104km dengan catatan masa 2 jam 32 minit 18 saat.

Siti Nur Adibah Akma yang muncul juara acara ujian masa individu (ITT) elit wanita semalam turut menafikan cabaran pelumba terkenal Terengganu A, Nur Aisyah Mohamad Zubir turut mencatat masa serupa manakala Nurul Najwa Mohamad Fauzi menduduki tempat ketiga dengan masa 2 jam 52 minit 20 saat.

Bagaimanapun rentak gemilang TSC sedikit tercemar apabila pelumba harapan, Muhammad Hakim Ajis hanya menduduki tempat kedua bagi acara Bawah 23 Tahun sejauh 130km yang menyaksikan pelumba Terengganu A, Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim mencatatkan masa 3 jam 09 minit 48 saat manakala pelumba Johor A, Muhammad Hafizul Asyraf Jaafar meraih tempat ketiga dengan catatan masa 3 jam 12 minit 45 saat

Sementara itu, Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab mengakui mampu menarik nafas lega berikutan rentetan kejayaan badan induk kebangsaan yang berjaya menganjurkan Kejohanan Lebuhraya Kebangsaan 2020 tanpa sebarang masalah besar.

“Ramai yang memantau Kejohanan Lebuhraya Kebangsaan 2020. Banyak cabaran pada peringkat awal. Tapi akhirnya semua berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Namun kami agak berdebar menunggu ulasan daripada pelbagai pihak khususnya KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya.