Mayat nelayan ditemui, seorang lagi masih hilang

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

MUAR - Seorang nelayan yang dilaporkan hilang bersama anaknya ketika mencari kepah di Sungai Muar berdekatan Tanjung Emas sejak semalam, ditemui lemas hari ini.

Mayat Zainal Jerman, 61, ditemui terapung kira-kira jam 3.25 petang tadi oleh sekumpulan nelayan tempatan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Bagaimanapun, anaknya, Muhammad Azwan, 25, masih belum ditemui.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, mangsa ditemui kira-kira satu batu nautika daripada lokasi dua beranak itu dilaporkan hilang semalam.

“Nelayan tempatan yang berada di kawasan tersebut telah menemui mayat mangsa dalam keadaan terapung. Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk pengecaman oleh waris," katanya di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beranak dikhuatiri lemas

Mohammad berkata, seramai 61 individu membabitkan enam buah agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih melakukan SAR bagi mencari Muhammad Azwan.

“Sebuah helikopter dan 18 bot digunakan dalam operasi berkenaan. Radius pencarian akan diperluaskan esok iaitu sejauh kira-kira 50 batu nautika,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.