'Rakyat matang untuk buat pilihan tepat'

Mohamed Azmin berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Beaufort di Dewan Kampung Koundo, Kebatu.- Foto Bernama
Mohamed Azmin berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Beaufort di Dewan Kampung Koundo, Kebatu.- Foto Bernama
A
A
A

BEAUFORT - Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin rakyat Sabah sudah cukup matang berpolitik serta mampu membuat keputusan tepat untuk masa depan negeri itu dan rakyatnya.

Beliau juga yakin rakyat Sabah sudah cukup memahami keperluan mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Menurutnya maklum balas yang diperoleh dalam kempen mengenai perkara itu setakat ini juga cukup positif.

"Maklum balas yang kita terima cukup positif tetapi jangan terlalu selesa. Kita mesti kerja kuat, masih ada masa lima hari lagi untuk turun bertemu dengan pengundi.

"Pendekatan (berkempen) yang kita ambil ialah untuk mewujudkan rasa muhibah dan persaudaraan sesama kita," katanya kepada pemberita selepas majlis Sentuhan Kasih Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias di sini semalam yang turut dihadiri penyandang dan calon bagi kerusi DUN itu, Datuk Isnin Aliasnih.

Mohamed Azmin (kiri) meletakkan tangan di dada tanda ucap salam dalam normal baharu kepada Isnin ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Beaufort di Dewan Kampung Koundo, Kebatu. - Foto Bernama
Mohamed Azmin (kiri) meletakkan tangan di dada tanda ucap salam dalam normal baharu kepada Isnin ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Beaufort di Dewan Kampung Koundo, Kebatu. - Foto Bernama

Mohamed Azmin berkata, rakyat Sabah juga sedar betapa pentingnya untuk memberi sokongan kepada calon parti di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Mengulas hasil lawatannya ke daerah dan kawasan tumpuan, beliau berkata sambutan rakyat Sabah terhadap calon PN, Barisan Nasional (BN) dan sekutunya Parti Bersatu Sabah (PBS) cukup meyakinkan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Azmin berkata, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM350 juta tahun ini kepada kerajaan negeri Sabah untuk projek bekalan air bersih.

Beliau berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) akan memastikan peruntukan itu sampai kepada rakyat.

"Antara projek penting yang perlu disegerakan di daerah Beaufort ialah bekalan air bersih," katanya. - Bernama