Anifah bimbang kenyataan Mohd Shafie

Anifah Aman. - Foto Bernama
Anifah Aman. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman bimbang dengan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mencadangkan supaya membenarkan pesakit koronavirus (Covid-19) keluar mengundi.

Beliau mempersoalkan sama ada Ketua Menteri itu memahami atau tidak mengenai pandemik berkenaan.

"Saya sejujurnya hairan, terkejut dan risau, bagaimana Ketua Menteri Interim boleh mengeluarkan kenyataan ingin membenarkan pesakit positif Covid-19 untuk bersama-sama keluar mengundi.

"Prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk Covid-19 bertujuan mengasingkan pesakit Covid-19 daripada orang ramai kerana daya penularan yang begitu tinggi," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Anifah turut mempersoalkan tindakan Ketua Menteri itu yang dianggap sanggup menggadai kesihatan orang ramai untuk meraih undi dalam PRN Sabah.

"Sanggup beliau menggadai kesihatan ramai demi meraih undi, adakah Mohd Shafie buta hati dan begitu terdesak?

"Saya cadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jangan tunduk kepada permintaan Ketua Menteri Interim itu.

"Ya, mengundi hak dan tanggungjawab semua dan kita seharusnya memudahkan urusan semua yang layak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berpendapat supaya KKM dan SPR membenarkan pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin untuk mengundi pos.

"Dengan cara ini, mereka tidak perlu keluar dari hospital atau tempat kuarantin dan tidak mengganggu rawatan mereka. Paling penting tidak terdedah dengan penularan selain melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Kita semua perlu memainkan peranan untuk mengurangkan risiko wabak pandemik yang sudah dikenal pasti WHO sebagai amat berbahaya dan saya harap tiada antara kita memandang remeh atau mengabaikan perkara ini semata-mata untuk agenda tersendiri," katanya.