Solomon hormati keputusan perwakilan MTUC

J Solomon
J Solomon
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon menghormati keputusan perwakilan memilih kepimpinan kesatuan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan mengikut amalan demokrasi dalam kongres tersebut menyaksikan beliau gagal mengekalkan jawatan yang dipegang sejak tiga tahun lalu.

"Selamat maju jaya kepada Setiausaha Agung yang baharu, Kamarul Baharin Mansor dan saya berharap selepas ini pembelaan pekerja terus diperkasakan beliau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan persidangan perwakilan MTUC kali ini yang menyaksikan persaingan tiga penjuru bagi jawatan Setiausaha Agung MTUC.

ARTIKEL BERKAITAN: Undian seri, MTUC buntu tentukan calon Presiden

Kamarul Bahrin daripada Kesatuan Pengurusan Sisa Kebangsaan (NUMW) menang jawatan itu dengan memperoleh 143 undi menewaskan Gopal Kishnam Nadeson daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW) yang mendapat 132 undi dan Solomon (Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank) meraih 98 undi.

Buat julung kali dalam sejarah 71 tahun MTUC, saingan tiga penjuru untuk jawatan presiden berakhir dengan seri.

Penyandang jawatan presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia (NUPCIW) dan pencabarnya, Mohd Jafar Abd Majid daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Telekomunikasi (NUTE) masing-masing mendapat 136 undi.

Ekoran itu, Kamarul Baharin berkata, beliau akan mengkaji Perlembagaan MTUC untuk langkah seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, empat kesatuan memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar kesahihan penganjuran persidangan itu.

Ditanya mengenai keputusan pemilihan dan kontroversi yang timbul, Solomon bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Untuk soalan lain lebih elok kenyataan selanjutnya daripada Setiausaha Agung yang baharu atau presiden bagi menghormati protokol MTUC," katanya ringkas.