X

Kindly register in order to view this article
!

Konkrit hempap kereta: JKKP arah henti kerja pasang dinding

Laporan Sinar Harian semalam.
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengarahkan kerja-kerja pemasangan dinding parapet Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihentikan serta-merta berikutan kejadian kepingan konkrit menghempap sebuah kereta semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan itu dikeluarkan supaya siasatan komprehensif dapat dijalankan oleh JKKP bagi mengenal pasti punca kejadian.

Katanya, ia juga bertujuan menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam," katanya.

Awang yang juga Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) berkata, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya.

Selain itu, Awang berkata Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 (OSHCIM) juga mengkehendaki setiap pihak berkepentingan termasuk pelanggan (klien), pereka bentuk dan kontraktor, memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja bermula daripada peringkat reka bentuk projek pembinaan.

"Kementerian memandang serius setiap kemalangan dan penyakit yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuk kes yang melibatkan orang awam di sektor pembinaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita cedera bongkah konkrit hempap kereta

Mangsa dihempap konkrit patah tangan, tulang selangka

Menurut laporan media, kepingan konkrit bersaiz satu meter persegi daripada kerja-kerja pembinaan SUKE, terjatuh menghempap kereta jenis Proton Saga BLM yang sedang dipandu seorang wanita di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Terminal Bersepadu Selatan dalam kejadian kira-kira 5.45 petang semalam.

Bagaimanapun, mangsa berusia 25 tahun itu diselamatkan orang awam dan hanya cedera di tangan kirinya sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menerima rawatan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!