Nafuzi akui pemburuan slot dua terbaik tipis

Pemain Terengganu FC, Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar (kiri) cuba mengawal bola dari pemain UiTM FC, Mark Andrew Hartmann pada aksi CIMB Liga Super di stadium UiTM malam tadi.
Pemain Terengganu FC, Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar (kiri) cuba mengawal bola dari pemain UiTM FC, Mark Andrew Hartmann pada aksi CIMB Liga Super di stadium UiTM malam tadi.
A
A
A

PELUANG Terengganu FC (TFC) untuk memburu tempat kedua terbaik Liga Super musim ini disifatkan agak tipis oleh ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain.

Nafuzi berkata, untuk berada di tangga kedua, TFC perlu kekal menang untuk tiga lagi baki perlawanan selepas ini dan jelas Nafuzi perkara tersebut mungkin sukar untuk dilakukan skuad Penyu itu.

"Secara peribadi, bagi saya (untuk mendapat tempat kedua), kita harus menang setiap perlawanan. Sebab kalau kita menang, automatik kita berada di atas.

"Pada perlawanan terakhir, kita dapat lihat kita di mana. Tapi sekarang kita sudah kalah tiga perlawanan dan saya rasa kita tidak boleh tercicir mata untuk itu," katanya selepas perlawanan Liga Super UiTM FC menentang Terengganu FC, semalam.

Menurutnya, pihaknya akur keputusan pasukan lain juga memainkan peranan untuk mereka terus optimis mengejar posisi tersebut.

Skuad bimbingannya itu berada pada kedudukan kedua liga dengan mengutip 10 mata iaitu ketinggalan tiga mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menundukkan Sabah 4-0 pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu 29 Ogos lalu.

Namun, ekoran kekalahan ketiga pasukan hitam putih itu dengan UiTM yang berkesudahan 2-1 di Stadium UiTM, dekat sini semalam, masing-masing Terengganu kini di tangga keenam di bawah Melaka United, 10 mata manakala UiTM FC kini selesa menghuni tangga ketiga Liga Super dengan 13 mata.

Semalam, Victor Nirennold muncul wira UiTM FC apabila berjaya meledak gol kemenangan pada minit ke-59 selepas kedudukan terikat 1-1 hasil jaringan pembukaan Muhamad Arif Mohamed Anwar pada minit keempat dan gol penyamaan pasukan pelawat menerusi kapten Lee Andrew Tuck pada minit ke-38. - Bernama

Artikel Berkaitan: