Amanah perlu bertanding tiga kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan

Asmaaliff (berdiri lima kiri, barisan belakang) bersama barisan penggerak Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan.
Asmaaliff (berdiri lima kiri, barisan belakang) bersama barisan penggerak Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan mahu calon daripada parti itu bertanding di tiga kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, tiga kawasan itu ialah Titiwangsa, Putrajaya dan Bandar Tun Razak.

Menurutnya, ketiga-tiga kerusi tersebut tiada ahli Parlimen 'incumbent' daripada Pakatan Harapan (PH) dan bukanlah kerusi warisan dari mana-mana parti komponen PH.

"Calonnya sentiasa berubah-ubah daripada pelbagai parti. Jadi, wajarlah pada PRU15 (dapat) memberi peluang untuk Amanah bertanding di kawasan ini yang diyakini memiliki akar umbi yang kuat.

"Hal ini dikuatkan lagi apabila usul daripada Pemuda Amanah Titiwangsa untuk Amanah bertanding di tiga kerusi ini dibahaskan dan dipersetujui sebulat suara dalam Konvensyen Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan kali ini," katanya hari ini.

Beliau ditemui pada Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) dan Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan di Hotel Putra di sini hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan Ahli Majils Pimpinan Pusat Amanah, Suhaizan Kayat.

Hadir sama, Setiausaha Agung Parti Amanah Nasional (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, Ketua AWAN, Senator Aiman Athirah Al Jundi dan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Asmaaliff berkata, meskipun begitu, Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan ingin menyatakan hasrat dan iltizam yang tinggi agar salah satu dari kawasan ini dipertandingkan dengan calon daripada Pemuda Amanah.

Menurutnya, ia penting bukan semata-mata bagi mengasah bakat kepimpinan pemuda tetapi sebagai signal bahawa Amanah memiliki akar umbi yang kuat.

"Meletakkan calon Pemuda di kawasan bandar pesat sebegini mampu menarik lebih ramai pengundi yang sibuk mencari rezeki di ibu kota dan sangat peka dengan kemudahan infra yang tertumpu di bandar-bandar ini.

"Untuk tempoh perjuangan dan bukti kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, kini tiba masanya Amanah dijadikan rakan koalisi berdaya saing agar impak pengukuhan komponen PH mampu bertahan lebih lama dan lebih jauh lagi," katanya.