Hilang kerja akibat Covid-19, ramai pilih bekerja sendiri

Ramai individu hilang pekerjaan ekoran pandemik Covid-19 memilih bekerja sendiri.
Ramai individu hilang pekerjaan ekoran pandemik Covid-19 memilih bekerja sendiri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19 sudah menjadi sebahagian daripada normal baru namun memberi pengalaman ngeri kepada individu terbabit.

Berdasarkan undian atas talian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Poll UCSI pada 20 hingga 30 Julai lalu mendapati sebanyak 48 peratus daripada 858 responden bersetuju bahawa kehilangan pekerjaan adalah peluang untuk mereka bekerja sendiri.

Apabila ditanya adakah tawaran skim pemisahan sukarela (VSS) akan menjadi alasan untuk mereka berhenti kerja, seramai 41.8 peratus responden bersikap berkecuali dan 40.2 peratus responden bersetuju.

Pada soalan adakah mereka akan berhenti kerja jika majikan melakukan pemotongan gaji akibat wabak Covid-19, sebanyak 38.8 peratus responden bersetuju manakala 33.9 peratus berkecuali dan 27.2 peratus tidak bersetuju.

Pada soalan lain, 35.9 peratus responden bersetuju bahawa mereka akan meletak jawatan sekiranya berlaku pemberhentian pekerja dengan 25.8 peratus berkecuali dan 28.7 peratus tidak setuju.

Dari segi kewangan yang akan bergantung kepada keluarga masing-masing jika berhenti kerja, 34.7 peratus responden memberikan undian setuju.

Dalam soalan berasingan, sebanyak 36.5 peratus responden akan mempertimbangkan keputusan berhenti kerja kerana tidak gembira dengan pekerjaan dilakukan sekarang.

Pada masa sama, 85.3 peratus responden mendesak kerajaan supaya menyediakan kursus latihan jangka pendek untuk penganggur meningkatkan kemahiran masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 83.3 peratus responden mahu Putrajaya membantu mereka yang kehilangan kerja agar mendapat pekerjaan baharu dalam masa terdekat.

Selain itu, sebanyak 80.7 peratus responden meminta kerajaan menyediakan sokongan kesihatan mental dan psikologi manakala 76.8 peratus responden mengharapkan subsidi makanan serta 76.7 peratus responden mahu peluang keusahawanan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Poll UCSI, Profesor Madya Dr Pek Chuen Khee berkata, pendapat awam itu menunjukkan bahawa berlaku pengangguran buat sementara waktu kerana ramai yang mengambil peluang untuk memulakan perniagaan sendiri.

“Bantuan bukan kewangan oleh kerajaan sangat penting apabila hampir 80 peratus responden memilih bantuan sedemikian,” ujarnya.