[VIDEO] A Kadir amat yakin Ku Li tidak nyanyuk

Datuk A Kadir Jasin
Datuk A Kadir Jasin
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin bersetuju dengan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanyalah ular lidi dalam Muafakat Nasional (MN).

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu malah berkata, Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dianggotai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mungkin hanya ular air dalam MN yang menyusur bumi dan memakan katak.

"Kalau Tengku Razaleigh ular tedung selar yang berbisa, beliau tentu tidak menyokong dan duduk bersama ular lidi dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ku Li sudah cukup berpengaruh untuk berdiri sendiri sebagai ahli bebas.

"Saya tidak peduli parti politik mana Tengku Razaleigh belasah tetapi fakta sejarah kena dihormati," katanya menerusi hantaran terbaharu di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan sebuah portal semalam bahawa Tengku Razaleigh menggelarkan Bersatu sebagai ular lidi.

Tengku Razaleigh berkata, MN tidak patut menerima Bersatu kerana pengkhianatan parti itu menyebabkan Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, dalam nada menyindir, A Kadir turut mengucapkan tahniah kepada Tengku Razaleigh kerana kenal jenis-jenis ular.

"Beliau orang Kelantan dan kerusi Parlimennya Gua Musang yang masih banyak hutan rimba. Jadi tidak peliklah kalau beliau pakar mengenai ular.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, ketika 'Bersatu original' bergabung dalam PH dan mengalahkan BN pada 9 Mei 2018, ia adalah ular berbisa.

"Bersatu tidak mengkhianati BN seperti yang Tengku Razaleigh andaikan. Bersatu dan rakan-rakan PH 'won fair and square' (memang adil dan saksama) walaupun dikhianati oleh kerajaan kleptokrasi BN dengan bermacam-macam taktik kotor.

"Saya amat yakin yang Tengku Razaleigh tidak nyanyuk, maka dia pasti ingat sabotaj kerajaan BN terhadap PH ketika PRU 2018, bagaimana Bersatu diharamkan, PH dinafikan pendaftaran dan terpaksa bertanding menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.

Menurut A Kadir, pihak yang terikut-ikut cara khianat dan sabotaj BN adalah geng Langkah Sheraton yang mengkhianati mandat rakyat jelata dengan merampas kuasa dan mendirikan kerajaan tebuk atap yang diberi nama PN.

Malah, katanya, Tengku Razaleigh pernah 'dipersembahkan' peluang untuk menjadi Perdana Menteri dan menyelamatkan negara daripada kerakusan Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi seperti biasa beliau tidak tegas.

"Sebagai catatan, saya tidak terikat lagi dengan mana-mana parti politik. Saya keluar Bersatu secara rasmi pada 6 Ogos lalu dan mengisytiharkan diri saya bebas daripada politik kepartian," katanya.