Tukun tiruan tingkatkan spesies hidupan sungai

Rosleli Jahari (kanan) melancarkan Tukun Merdeka Resam sempena sambutan ke-63 Kemerdekaan Negara di Anjung Resam, Kampung Makam, Kota Tinggi hari ini.
Rosleli Jahari (kanan) melancarkan Tukun Merdeka Resam sempena sambutan ke-63 Kemerdekaan Negara di Anjung Resam, Kampung Makam, Kota Tinggi hari ini.
A
A
A

KOTA TINGGI - Inisiatif membina tukun tiruan di Sungai Johor mampu meningkatkan populasi hidupan marin selain menjana pendapatan nelayan dan pengusaha bot sewa terutama dalam kawasan Johor Lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, pada masa sama lokasi tukun yang dilabuhkan memberi impak positif kepada biodiversiti ikan.

Justeru, beliau memuji usaha Kelab Rekreasi dan Sejarah Kampung Makam Kota Tinggi (Resam) yang membina tukun tiruan daripada tayar terpakai dalam usaha memulihara hidupan akuatik di Sungai Johor.

"Ini suatu usaha murni serta tanggung jawab sosial yang wajar dicontohi oleh komuniti setempat demi kelestarian sungai dan habitatnya.

"Kawasan perairan yang diletakkan tukun akan dipantau dan direkod peningkatan populasi spesies berkaitan setiap tiga bulan oleh pihak Resam dan nelayan bagi memastikan matlamat pembinaan tukun tersebut berhasil.

"Ini juga boleh menjadi rujukan pihak lain," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Tukun Merdeka Sempena Sambutan ke-63 Kemerdekaan Negara di Anjung Resam, Kampung Makam di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Nelayan Kampung Makam, Abdul Rahim Sampir; Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pengerang, Ramli Harun; Penasihat Resam, Rahmat Paik dan Pengerusi Resam, Saiful Bahar Mohd Yunus.

Roslili berkata, 10 biji tukun daripada tayar lori terpakai itu dibina ahli-ahli Resam secara gotong-royong dengan perbelanjaan sendiri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pembinaan tukun tersebut dilakukan mereka sebagai satu aktiviti sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan baru-baru ini namun pelancarannya dilakukan pada hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Sungai Johor sepanjang 122.7 kilometer mempunyai perairan air tawar dan air masin serta mempunyai spesies akuatik antaranya ikan, siput gonggong, belangkas dan udang galah.

Hasil sungai tersebut katanya, memberikan sumber rezeki kepada kira-kira 200 nelayan sungai dari Kampung Makam, Kampung Tembiuh, Kampung Pasak, Kampung Panchor, Kampung Johor Lama dan Telok Sengat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pencemaran dengan menjadikan Sungai Johor sebagai tempat pembuangan sampah sarap atau sisa buangan lain termasuk dari kawasan industri.