Jangan terlalu beri tekanan kepada PN

Suhaizan (tiga dari kiri) merasmikan Konvensyen AWAN dan Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan di Hotel Putra di Kuala Lumpur hari ini.
Suhaizan (tiga dari kiri) merasmikan Konvensyen AWAN dan Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan di Hotel Putra di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) termasuk dalam kalangan sayap parti diingatkan supaya tidak terlalu obses memberi tekanan kepada Perikatan Nasional (PN) supaya mengembalikan semula mandat rakyat yang dirampas pada penghujung Februari lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah, Suhaizan Kayat berkata, pihaknya khuatir Pakatan Harapan (PH) akan terkena tempias dan kesan buruk akibat desakan tersebut.

Beliau berkata, ditambah pula ketika ini rating Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) dilihat agak tinggi.

"Jadi kalau kita terlalu obses mendesak mereka mengembalikan mandat rakyat, kita khuatir ada kesan dan rakyat akan bosan dengan kita.

“Tetapi ingat, jika ada ruang dan peluang itu tiba tepat pada masanya, maka kita gunakan peluang itu dan memanfaatkan sebaik-baiknya," katanya.

Menurutnya, Amanah perlu bersabar dan bertindak secara bertamadun dalam setiap langkah ke arah memperjuang dan mengembalikan hak rakyat serta kepentingan negara.

“Janganlah sampai kita uar-uarkan sehingga rakyat bosan dan kecewa dengan tindakan kita. Kita perlu terima hakikat bahawa rakyat kini sangat terbeban dengan pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) dan Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan di Hotel Putra di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli; Ketua AWAN, Senator Aiman Athirah Al Jundi dan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Suhaizan yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia di Johor yang bekerja di Singapura bakal menerima kesan buruk apabila Covid-19 berakhir nanti.

Menurutnya, jumlah rakyat Malaysia yang berulang alik bekerja di negara jiran itu ketika ini juga sudah jauh merosot kepada lebih 1,000 orang sahaja sehari.

Katanya, kerajaan negeri juga menjangkakan ekonomi Johor akan mengalami kemerosotan sebanyak 20 peratus.

"Jadi, jika ada peluang, kita manfaatkan dengan menyelesaikan masalah rakyat, tetapi perlu sedar kita tidak boleh lari dari persiapan berdepan Pilihan Raya Umum-15 (PRU15).

“PM (Perdana Menteri) sudah cakap, kalau mereka boleh bentuk kerajaan di Sabah, barulah disegerakan PRU15. Maka kita dalam PH sebagai satu gabungan sahaja lebih mudah meneruskan urusan kerusi bertanding.

“Tetapi PN berada dalam pasaran sama iaitu orang Melayu dan Islam melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas sukar menguruskan pengagihan kerusi dalam kalangan mereka,” katanya.

Atas alasan itu, beliau berkata, Muhyiddin takut untuk membubarkan Parlimen sekarang untuk mengadakan PRU15.

Malah, katanya, walaupun Muhyiddin berkuasa menasihati Sultan Johor bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor serentak dengan Parlimen, tapi Perdana Menteri tidak berkeyakinan boleh menguruskan masalah dalaman parti PN.

“PN pun pening sebab terlampau banyak gabungan parti dalam gabungan mereka. Kita hanya satu gabungan utuh iaitu PH.

“Ini menggambarkan ia sangat bermasalah berbanding kita walaupun baru berusia lima tahun," katanya.