X

Kindly register in order to view this article
!

Manchester United kena tambah pemain lagi

Van de Beek (tengah) ketika meraikan jaringan Manchester United semasa berdepan Crystal Palace di Old Trafford pada aksi Liga Perdana Inggeris.
A
A

OLE Gunnar Solskjaer mengakui bahawa Manchester United memerlukan pelaburan tambahan bagi membeli pemain baharu selepas diaibkan 1-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Crystal Palace di Old Trafford.

Pengendali yang juga bekas pemain The Red Devils berusia 47 tahun itu berkata, kelab tidak mempunyai pilihan selain menambah peruntukan bagi mendapatkan pemain baharu sebelum tempoh perpindahan pemain berakhir Oktober ini sekiranya mahu berdaya saing mencabar kejuaraan.

Jelas Solskjaer, pihaknya sebelum ini telah memaklumkan perkara tersebut kepada pengurusan sebelum saingan pertama kelab musim 2020/21 bermula awal pagi tadi.

“Pada perlawanan pertama musim ini anda dapat melihat secara jelas segala kekurangan Manchester United, sejujurnya Crystal Palace layak mendapat tiga mata.

“Crystal Palace lebih tajam serta sempurna daripada kami dalam mengasak dan melakukan terjahan. Kami bermula dengan agak perlahan dan berusaha kembali dalam perlawanan selepas pelawat menjaringkan gol pertama.

“Kami mengharungi jadual panjang musim lalu yang berakhir pada 16 Ogos. Jadi kami tidak mempunyai cukup masa melakukan persiapan lebih rapi. Biarpun begitu kami tetap bekerja keras dengan pemain-pemain sedia ada termasuk yang baru kembali daripada tugasan bersama negara masing-masing,” katanya.

Pada aksi itu gol The Eagles kendalian Roy Hodgson dijaringkan bekas pemain The Red Devils, Wilfried Zaha (dua gol) manakala satu lagi disumbangkan Andros Townshend.

Sementara itu, gol The Red Devils dijaringkan Donny van de Beek pada penampilan sulung sejak berpindah dari Ajax Amsterdam.

Van de Beek adalah pemain tunggal yang direkrut Solskjaer pada musim panas selepas status mendapatkan khidmat Jack Grealish (Aston Villa) dan Jadon Sancho (Borussia Dortmund) masih samar.

Tambah Solskjaer, Hodgson memaklumkan kepadanya bahawa aksi menentang The Red Devils itu adalah aksi kompetitif ketiga dari empat aksi persahabatan kelab berkenaan musim ini.

“Ini adalah perbezaan yang besar bagi kami ketika menentang Aston Villa minggu lalu. Sebenarnya aksi pada hari ini bukanlah aksi sebenar pemain-pemain Manchester United kerana kami boleh buat lebih baik sebenarnya.

“Kami boleh bermain jauh lebih baik daripada hari ini berdasarkan barisan pemain yang kami ada di padang dan di bangku simpanan. Sejujurnya kami selalu ingin memperkuat kelab tetapi kita semua perlu melihat diri kita sendiri di cermin terlebih dahulu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!