'PH hanya tiga parti, agihan kerusi PRU15 lebih mudah'

Dr Mohd Hatta (tiga dari kiri) bersama tetamu jemputan dan peserta pada Konvensyen AWAN dan Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan di Hotel Putra, Kuala Lumpur hari ini.
Dr Mohd Hatta (tiga dari kiri) bersama tetamu jemputan dan peserta pada Konvensyen AWAN dan Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan di Hotel Putra, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pengagihan kerusi antara parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jauh lebih mudah berbanding ketika PRU14.

Setiausaha Agung Parti Amanah Nasional (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, PH masih dalam satu gabungan mantap walaupun hanya terdiri daripada tiga parti iaitu Amanah, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Secara asasnya majoriti kerusi disandang parti sedia ada ini kekal iaitu yang bertanding dahulu (PRU14) dan sebarang perubahan akan dibincangkan dengan baik dalam kalangan parti-parti.

"Jadi, ia tidak sepayah ketika menghadapi PRU14 lalu. Namun, untuk masa masih panjang, kita perlu selesaikan dahulu urusan (Pilihan Raya Negeri) di Sabah," katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) dan Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan di Hotel Putra di sini hari ini.

Konvensyen tersebut dirasmikan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat.

Hadir sama, Ketua AWAN, Senator Aiman Athirah Al Jundi dan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Sementara itu, Dr Mohd Hatta yang merupakan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan berkata, selain mengekalkan 35 kerusi yang ditandingi Amanah pada PRU14, parti itu juga akan membincangkan mengenai pengagihan 52 kerusi tambahan yang ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Bagaimanapun, soal kerusi tambahan itu akan dibincangkan kemudian. Buat masa ini kita tumpukan pada PRN Sabah selain usaha Amanah dan rakan-rakan untuk mengembalikan semula mandat rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan: