X

Kindly register in order to view this article
!

JPN akan selaras bin dan binti anak tak sah taraf

Ruslin (dua dari kanan) membantu pelanggan membuat ePayment di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Terengganu di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Penggunaan bin dan binti dengan nama Abdullah atau mengikut senarai Asmaul Husna bagi pendaftaran anak tidak sah taraf kini dalam proses penyelarasan.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, beberapa siri perbincangan sudah dilakukan di peringkat negeri terutamanya dengan pejabat Mufti di seluruh negara pada tahun ini.

"JPN sudah membuat pembentangan mengenai peraturan dan pelaksanaan dalam mendaftarkan anak tidak sah taraf pada muzakarah mufti di Pahang baru-baru ini.

"Buat masa ini, kita hanya membenarkan anak-anak yang tidak sah taraf itu didaftarkan dengan bin atau binti Abdullah atau menggunakan senarai nama Asmaul Husna," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kemudahan ePayment dan Sesi Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negeri Terengganu di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat negeri yang tidak begitu jelas dalam menetapkan sama ada menggunakan Abdullah atau Asmaul Husna.

Ruslin Jusoh
Ruslin Jusoh

"Sebab itu kita mahu selaraskan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberikan tanggungjawab untuk membuat kajian dan penyelidikan mengenai pelaksanaan itu.

"Insya-ALLAH, kita tunggu hasil daripada pihak Jakim dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat dan setakat ini kira-kira 300,000 anak tidak sah taraf yang berdaftar di bawah JPN," katanya.

Sementara itu, Ruslin turut menasihatkan ibu bapa supaya mempercepatkan pendaftaran kelahiran anak masing-masing dalam tempoh 60 hari daripada tarikh dilahirkan bagi mengelak isu berbangkit.

"Pasangan yang berkahwin di luar negara juga perlu mendaftarkan kelahiran anak mereka selagi anak itu dilahirkan di dalam negara.

"Mereka juga perlu membuat pengesahan perkahwinan terlebih dahulu di pejabat agama masing-masing. Jika pengesahan itu tidak dibuat, ia akan menimbulkan masalah kepada mereka.," katanya.

Katanya, masalah akan timbul apabila anak itu mahu bersekolah kerana pihak sekolah memerlukan dokumen surat beranak atau sijil lahir dan ibu bapa ini tidak ada sijil lahir anak.

"Pada masa itu, mereka akan datang ke pejabat untuk buat pengesahan dan membuat pendaftaran kelahiran menyebabkan prosesnya menjadi rumit. Di Terengganu sahaja, sebanyak 264 kes pendaftaran lewat pada tahun lalu dan perkara ini tidak sewajarnya berlaku," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!