Kerajaan tangani kemurungan 'frontliners'

Dr Noor Azmi (dua dari kanan) melepaskan kumpulan konvoi sempena Program Ride Merdeka dan Hari Malaysia Parlimen Bagan Serai di Dewan Taman Seri Selinsing, Simpang Empat Semanggol hari ini.
Dr Noor Azmi (dua dari kanan) melepaskan kumpulan konvoi sempena Program Ride Merdeka dan Hari Malaysia Parlimen Bagan Serai di Dewan Taman Seri Selinsing, Simpang Empat Semanggol hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan sedang berusaha menangani masalah kemurungan dalam kalangan petugas barisan hadapan dan rakyat yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, saringan terhadap masalah tersebut sedang dilakukan dalam kalangan petugas kesihatan, anggota polis, tentera dan lain-lain perkhidmatan yang terlibat di barisan hadapan.

Menurutnya, kerajaan juga melaksanakan beberapa inisiatif seperti talian psikososial menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan selain turut dilaksana beberapa kementerian dan agensi lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Ini antara usaha kerajaan untuk mengurangkan kes-kes kemurungan yang berlaku di negara ini. Kita juga membuat saringan masalah kemurungan ini terutamanya golongan 'frontliners'. Mereka yang serius akan dirujuk kepada pakar.

"Kerajaan amat mengambil berat tentang perkara ini sebabnya ketika pandemik ini ramai orang hilang kerja, hilang pendapatan, berlaku pergaduhan dalam keluarga, penderaan terhadap wanita dan sebagainya yang menyebabkan kemurungan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Ride Merdeka dan Hari Malaysia Parlimen Bagan Serai di Dewan Taman Seri Selinsing, Simpang Empat Semanggol di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, kerajaan juga akan menambah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) sedia ada di seluruh negara.

"Kewujudan mentari berfungsi sebagai pusat penjagaan dalam komuniti dengan menyediakan khidmat saringan, diagnosis, rawatan dan pemulihan kepada mereka yang berhadapan dengan isu kesihatan mental di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu kerajaan akan menambah pakar psikiatri dan pakar psikososial dalam jangka masa panjang bagi membantu usaha menangani masalah tersebut," katanya.

Dr Noor Azmi berkata, menerusi Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, masalah kemurungan dan kesihatan mental di negara ini berlaku sebanyak 2.3 peratus dalam kalangan rakyat Malaysia atau melibatkan kira-kira 500,000 penduduk.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, penganjuran Program Ride Merdeka dan Hari Malaysia Parlimen Bagan Serai itu sebagai menyahut seruan kerajaan untuk menyemarakkan semangat cintakan negara selain mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum.

"Seramai 300 peserta terlibat dalam konvoi di sekitar Parlimen Bagan Serai dengan kerjasama marshal dan anggota polis trafik," katanya.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu juga turut berhasrat untuk mengadakan konvoi seumpama itu sempena sambutan tahun baharu nanti.