Air pasang besar: Beberapa kawasan di Klang, Sabak Bernam terjejas

Keadaan air laut yang melimpah masuk ke kawasan sekitar jeti nelayan berikutan fenomena air pasang besar di jeti Kampung Nelayan, Telok Gong, hari ini. - Foto Bernama
Keadaan air laut yang melimpah masuk ke kawasan sekitar jeti nelayan berikutan fenomena air pasang besar di jeti Kampung Nelayan, Telok Gong, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Beberapa kawasan di sekitar daerah Klang dan Sabak Bernam hari ini terjejas ekoran fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, antara kawasan yang dinaiki air melepasi benteng di Klang ialah Ban Sungai Keramat Kampung Batu 4, Ban Batu 7 (Kampung Sementa), Kampung Tok Muda dan Pengkalan Nelayan Batu 7 Kampung Sementa setakat jam 11.30 pagi tadi.

Selain itu, Ahmad Fairuz berkata, Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Delek, Jalan Banting Pandamaran, Pengkalan Sungai Udang di Kampung Baru Telok Gong serta Kampung Tradisi dan Kampung Pendamar turut dinaiki air.

"Tiga buah rumah di kawasan Kampung Pendamar telah dinaiki air akibat limpahan air laut namun air mulai surut secara beransur-ansur.

"Ban dan benteng di pesisir pantai juga kukuh dan dalam keadaan baik. Situasi masih selamat dan terkawal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Keadaan ketika tinjauan fenomena air pasang besar yang berlaku sekitar 7 pagi sehingga waktu kemuncaknya pada jam 7.53 pagi di Jeti Awam Bagan Hailam, Jalan Foreshore Pelabuhan Klang hari ini. - Foto Bernama
Keadaan ketika tinjauan fenomena air pasang besar yang berlaku sekitar 7 pagi sehingga waktu kemuncaknya pada jam 7.53 pagi di Jeti Awam Bagan Hailam, Jalan Foreshore Pelabuhan Klang hari ini. - Foto Bernama

Di Sabak Bernam, limpahan kecil dikesan melepasi benteng berlaku di kawasan Bagan Sekinchan, Pantai Batu 23, Sungai Haji Dorani, Bagan Sungai Besar, Sungai Burung, Parit Baru Baruh, Kampung Baru dan Sungai Nibong.

"Setakat ini, tiada kawasan penempatan yang terjejas,” kata Ahmad Fairuz.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tinjauan Bernama pada jam 8 pagi tadi mendapati air naik sehingga paras lutut di Pengkalan Nelayan Sungai Udang, Kampung Baru Telok Gong dekat sini, manakala beberapa rumah berdekatan jeti nelayan turut dimasuki air.

Penduduk setempat, Mohd Johari Ibrahim berkata, keadaan tersebut hanya berlaku apabila adanya fenomena air pasang besar.

"Air mula naik sekitar jam 7.30 pagi sehingga 8 pagi tadi. Lepas itu, ia mula surut. Biasanya air melimpah sekitar kawasan jeti sahaja dan tidak akan sampai ke rumah penduduk kerana adanya tali air antara jeti dan kawasan perumahan," katanya kepada Bernama.

Benteng Kampung Tok Muda di Kapar turut mengalami limpahan air ekoran fenomena air pasang itu. - Bernama