X

Kindly register in order to view this article
!

APMM tahan kapal tangki dari Mongolia, bot nelayan Indonesia

Kapal tangki dari Mongolia dan bot nelayan dari Indonesia ditahan di Tanjung Siang, Kota Tinggi, semalam kerana berlabuh dan masuk ke perairan Malaysia tanpa kebenaran.
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki kira-kira 14 batu nautika timur Tanjung Siang dekat sini semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Tan Ah Bik berkata, kapal yang ditahan pada jam 1.35 petang ketika pemeriksaan rutin Op Benteng Laut itu dikendalikan enam lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 24 hingga 63 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kapal didaftarkan di Ulaanbaatar, Mongolia dan mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana berlabuh tanpa pemakluman Pengarah Laut Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, sebuah bot nelayan asing tanpa nama turut ditahan disyaki dari Indonesia pada jam 3.02 petang pada kedudukan 14.2 batu nautika timur Tanjung Siang.

Menurut Ah Bik, pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan dua kru warga Indonesia berumur 35 dan 45 tahun.

"Kes akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana berada dalam perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959 Seksyen 5 kerana cubaan memasuki perairan Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan.

"Ini termasuk Akta Perikanan 1985 Seksyen 16(3) iaitu memasuki perairan Malaysia tanpa notifikasi," jelasnya.

APMM katanya, akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Johor timur selamat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!