Sufian Suhaimi bimbangkan kesihatannya...

Sufian Suhaimi
Sufian Suhaimi
A
A
A

KETIKA ini pastinya ramai yang sedang demam Anugerah Juara Lagu ke 33. Penyanyi Sufian Suhaimi yang ditemui di Konsert Prelude AJ33, KL Live, berkongsi, segala persiapan kini yang dalam proses penambahbaikan.

“Insya-ALLAH dalam beberapa hari ke AJL ada banyak lagi yang boleh saya tambah baik. Terutama dari segi persiapan vokal dan persembahan.

“Untuk hari kejadian, saya hanya mahu fokus pada diri saya untuk menyanyi dengan sehabis baik sahaja.

“Kalau soal tekanan, saya cuma bimbangkan kesihatan sahaja. Iyalah, kalau terjejas semestinya akan memberi kesan pada persembahan seperti apa yang saya bayangkan,” katanya.

Sementara itu, pelantun popular lagu Terakhir ini turut mendedahkan dia sebenarnya baru sahaja kembali sihat.

“Saya sebenarnya baru sahaja dapat suara balik dalam seminggu lepas, sebab sebelum ini kesihatan terjejas.

Sufian Suhaimi
Sufian Suhaimi

“Saya demam kuat dan batuk berlarutan sehinggakan hilang suara menyebabkan batuk berdarah kerana luka sejak minggu akhir Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ini alhamdulillah sudah bertenaga dan melihat dari segi persembahan pada malam prelude AJL33 sedikit sebanyak menambahkan lagi keyakinan dan keterujaan saya untuk beraksi di pentas AJL33 nanti,” tuturnya.

Menyentuh mengenai pembabitan sebagai pelakon, Sufian yang baru sahaja membintangi sebuah telefilem arahan Zulhuzaimy, berjudul Bayang, berkata, jika mendapat respon menggalakkan daripada orang ramai, dia akan mencuba lagi.

“Untuk berlakon lagi, jawapan saya bergantung kepada kepuasan saya melihat lakonan saya, begitu juga galakkan daripada peminat dan penonton telefilem tersebut.

“Kalau ramai yang suka, mungkin ini bukan lakonan terakhir saya. Jika sebaliknya, kena faham-fahamlah,” akuinya sambil ketawa.

Selain Sufian selaku watak utama, antara barisan pelakon lain seperti, Elisya Sandha, Aleza Shadan, Riena Diana dan ramai lagi.