Seorang PATI dicekup PGA positif Covid-19

Sebahagian PATI yang ditahan dalam serbuan di kawasan kolam udang di Sungai Nipah, Simpang Lima awal pagi semalam.
Sebahagian PATI yang ditahan dalam serbuan di kawasan kolam udang di Sungai Nipah, Simpang Lima awal pagi semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dicekup dalam Op Nyah di kawasan kolam udang di Sungai Nipah, Simpang Lima di sini awal pagi semalam disahkan positif Covid-19.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, wanita warga Indonesia berusia 45 tahun itu disahkan positif Covid-19 ketika menjalani ujian saringan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

"Wanita terbabit yang ditahan pada jam 3 pagi itu kemudian dimasukkan ke HTAJ Sabak Bernam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulafendy berkata, pihaknya sebelum itu menahan wanita terbabit bersama 26 PATI lain termasuk seorang kanak-kanak warga Indonesia berusia dua tahun yang masuk ke negara ini melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

"Mereka yang ditahan masing-masing 12 lelaki dan wanita Indonesia berusia 21 hingga 45 tahun serta dua lelaki warga Bangladesh berumur 24 dan 26 tahun.

"Kesemua yang ditahan itu dipercayai menggunakan bot tongkang dan kemudiannya dilepaskan di pesisir pantai tanpa sebarang dokumen perjalanan sah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 22 telefon bimbit pelbagai jenama dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM3,200.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Sungai Besar untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan: