X

Kindly register in order to view this article
!

Harimau Selatan belasah Gergasi Merah

Safawi (tengah) meraikan jaringannya bersama Diogo di Stadium Sultan Ibrahim malam ini. - Foto FB Johor Southe Tigers
A
A

Penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super apabila meraih kemenangan besar 6-1 ke atas Selangor di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Penyerang berbisa JDT, Safawi Rasid membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma kaki kiri yang cukup menarik pada penghujung babak pertama.

Sepakan percuma itu berpunca daripada kekasaran yang dilakukan tonggak pertahanan Selangor, Nicholas Swirad terhadap penyerang import JDT, Diogo Luis Santo.

Sebaik babak kedua bersambung, barisan serangan JDT terus memberi tekanan kepada benteng pertahanan Selangor dalam usaha menambah jaringan.

Hasilnya, Safawi sekali lagi merobek gawang Gergasi Merah yang dikemudi penjaga gol, Mohd Farizal Harun apabila meledak gol hasil sepakan penalti pada minit ke-49.

Diogo sekali lagi menjadi watak penting di sebalik gol kedua skuad Harimau Selatan itu selepas dia terlebih dulu dikasari Swirad di kawasan penalti JDT.

Diogo meletakkan JDT terus selesa di depan apabila bola hantaran pemain pertahanan, Lawrence Corbin Ong berjaya disudahkannya dengan rembatan kencang bagi menggegar gawang Selangor pada minit ke-64.

Berselang dua minit kemudian, pemain sayap lincah, Gonzalo Cabrera menambah duka Gergasi Merah apabila menyumbat gol keempat JDT selepas menyempurnakan hantaran Diogo.

Ramadhan Saifullah yang masuk sebagai pemain gantian bagi menggantikan Cabrera tidak menunggu lama untuk menjelmakan impak apabila menambah dua lagi gol masing-masing pada minit ke-72 dan 75.

Selangor memperoleh gol sagu hati menerusi jaringan penyerang import, Rufino Segovia pada minit ke-81 hasil hantaran lintang Sean Eugene Selvaraj.

Dengan kemenangan itu, JDT yang juga juara Liga Super enam kali berturut-turut gah menerajui takhta liga dengan mengumpul 22 mata manakala Selangor kekal memungut 10 mata.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!