X

Kindly register in order to view this article
!

Menangis dari Subang ke Sydney

Pada usia 74 tahun sekarang, Abdul Aziz terus komited dalam memperkukuhkan pengurusan Mubarak.
A
A

“PERJALANAN hidup sendirian sejak kecil menjadi faktor saya memiliki keyakinan diri yang tinggi,” kata Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman.

Itulah ungkapan yang dikongsi anak kelahiran Temerloh, Pahang kepada Sinar Ahad ketika ditemui di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Membuka bicara lebih lanjut, Abdul Aziz berkata, ikatan kekeluargaan yang tidak kuat sejak kecil membuatkannya lebih gigih berusaha sekali gus meletakkan dirinya pada kedudukan hari ini.

Beliau berkata, dipengaruhi kehidupan yang lebih banyak memfokuskan diri sendiri, beliau bertekad untuk menabur bakti kepada masyarakat.

“Ikatan kekeluargaan yang tidak kuat menyebabkan saya lebih banyak berdikari. Saya tidak berpaksi pada satu tempat, sebaliknya rumah saudara-mara (yang disinggahi) adalah sebagai transit.

“Kalau hari raya orang balik ke kampung, saya pula pergi buat aktiviti riadah. Saya bebas ikatan saudara-mara tapi lebih ikatan dengan sahabat dan persekitaran.

“Sikap berdikari itulah yang membuatkan saya matang dan ingin berusaha lebih kuat lagi,” katanya yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Mentakab) dan Bera di Pahang.Menceritakan lebih lanjut, Abdul Aziz berkata, sekiranya teman seusianya diulit kebahagian bersama keluarga, lain pula cerita baginya.

Katanya, seawal usia 13 tahun lagi beliau telah hidup berdikari, malah membuat permohonan sendiri untuk tinggal di asrama sekolah dengan alasan tidak mempunyai sesiapa untuk menguruskan kehidupannya di rumah.

“Saya (ibarat) dilahirkan oleh abah saya, mak saya ketika itu telah berpisah dengan abah dan tinggalkan kami dua beradik iaitu saya dan kakak.

“Apabila di rumah saya tidak mempunyai mak untuk menjaga makan minum kami, jadi pada masa itu saya membuat permohonan sendiri untuk tinggal di asrama sekolah,” katanya.

Di sebalik kehidupan yang tidak seindah orang lain ketika kecil, namun wajah bekas Senator dan bekas Timbalan Besar Pahang itu tetap tenang berkongsi kisah hidupnya.

Kesusahan dan keperitan hidup yang dialaminya itu, kata Abdul Aziz, sebenarnya menjadi pemangkin kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai impian hidupnya.

Meskipun beliau lebih dikenali sebagai bekas wakil rakyat, namun Abdul Aziz, seorang lulusan bidang perakaunan daripada Universiti New South Wales di Sydney, Australia, terlebih dahulu mencipta nama dalam bidang korporat.

Dunia korporatnya bermula dengan menjawat jawatan Pengurus Kewangan syarikat Malaysia Airlines (MAS) pada tahun 1972.

Kira-kira 10 tahun berkhidmat dengan MAS, beliau menerima pula tawaran sebagai Pengarah Urusan Bank Rakyat dan menggalas tanggungjawab selama dua tahun dengan institusi bank tersebut.

Kerjaya politiknya bermula pada tahun 1982 apabila ditawarkan menjadi calon pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab.

Perubahan

Selama satu penggal berkhidmat sebagai ADUN di kawasan itu, beliau sekali lagi bertanding di DUN Bera dan menyandang kerusi wakil rakyat kawasan itu selama dua penggal.“Semasa berada dalam bidang politik banyak perubahan yang saya dapat lakukan untuk rakyat. Lebih penting saya juga dapat sampaikan ilmu kepada mereka.

“Saya mula berjinak-jinak dengan politik dan kemasyarakatan sejak belajar di Sydney. Dari situ, minat semakin bercambah kerana saya sememangnya gemar dengan aktiviti dialog ilmu,” kenang beliau.

Mengimbau kembali pemergiannya ke Sydney untuk melanjutkan pengajian, Abdul Aziz berkata, antara perkara yang masih dikenang sehingga kini adalah bagaimana beliau meneruskan kehidupan di luar negara selepas tiada seorang pun ahli keluarga yang menghantarnya ke lapangan terbang di Subang sebelum berlepas.

Kakak merupakan satu-satunya ahli keluarga terdekat yang ada pada ketika itu. Kakak sepatutnya turut serta menghantarnya di lapangan terbang Subang, namun tidak sempat berbuat demikian.

“Sepanjang dalam penerbangan ke Sydney, saya menangis mengenangkan tiada seorang pun ahli keluarga yang datang ke lapangan terbang.

“Itulah antara kesedihan yang saya ingat sehingga kini. Situasi itu jugalah yang memberi kekuatan kepada saya sepanjang berada di luar negara,” katanya yang kehilangan bapa tersayang ketika masih menuntut di Maktab Tentera Diraja.




Kerjaya korporat Abdul Aziz selama 10 tahun bersama MAS bermula dengan jawatan Pengurus Kewangan pada tahun 1972.
Kerjaya korporat Abdul Aziz selama 10 tahun bersama MAS bermula dengan jawatan Pengurus Kewangan pada tahun 1972.

Daripada wajah tenang dan ceria sepanjang temu bual berlangsung selama hampir sejam itu, dapatlah disimpulkan bahawa keperitan masa lalu yang dilalui Abdul Aziz sememangnya memberi kekuatan buat bapa kepada empat cahaya mata itu.

Selepas hampir 20 tahun meninggalkan dunia politik atau lebih tepat lagi sebagai wakil rakyat, beliau berkata, aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan tidak sesekali dilupakan.

“Walaupun tidak bergelar wakil rakyat, tapi jawatan yang saya sandang ketika ini hampir sama iaitu menjaga kebajikan bekas wakil rakyat pula.

“Aktiviti saya kini tertumpu kepada program amal iaitu menyampaikan bantuan kepada bekas-bekas wakil rakyat yang memerlukan,” katanya.

Tambahnya, kecintaan terhadap bidang ilmu dan kemasyarakatan tidak pernah dilupakan apabila banyak aktiviti dilakukan khususnya melibatkan pemimpin muda dianjurkan.

“Dialog ilmu yang kami anjurkan lebih memfokuskan isu-isu kenegaraan dan semangat patriotik di mana banyak diadakan dialog ilmu.

“Harapan saya cukup besar iaitu untuk melihat masyarakat kita tanpa mengira kaum, agama dan etnik dapat mengekalkan keharmonian yang telah terbina sejak sekian lama ini.

“Jadi, atas sebab itulah, kita perlu dedahkan perkara ini kepada golongan muda yang akan menjadi pewaris kepimpinan akan datang,” katanya.

Nama: Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman

Umur: 74 tahun

Asal: Buntut Pulau, Temerloh, Pahang

Isteri: Puan Sri Zaliha Abdul Manaf

Anak: 4 orang

Pengalaman: Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak)

Pengerusi Pusat Pakar Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Pengerusi Persatuan Menunggang Bagi Orang Kelainan Upaya Malaysia (RDA)

Presiden Kelab Senator

Bekas ADUN Bera dan Mentakab, Pahang


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!