Kapal tangki ditahan berlabuh tanpa kebenaran

Kapal tangki yang ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran.
Kapal tangki yang ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) telah menahan sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 4 batu nautika Tenggara Teluk Ramunia, Kota Tinggi, kira-kira jam 10.55 pagi tadi.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal itu ditahan menerusi Op Khas Pagar Laut 1/2019 bersempena musim perayaan yang bakal tiba.

"Penahanan dilakukan setelah pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia.

"Kapal tangki yang berdaftar di Basseterre itu dikendalikan oleh enam kru termasuk Nakhoda (Master) berumur lingkungan 25 hingga 50 tahun merupakan warganegara Indonesia," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 Seksyen 491B(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran.

"Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Tiga orang kru kapal tangki tersebut dibawa ke pejabat ZMTS untuk tindakan selanjutnya'' katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara.

Artikel Berkaitan:

"Maritim Malaysia juga ingin menegaskan supaya pengusaha dan pemilik kapal untuk menjauhi kawasan larangan bersauh kerana boleh mendatangkan bahaya navigasi serta kerosakan kabel komunikasi dasar laut.

"Para pengusaha juga dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Johor sebelum berlabuh berikutan cuaca buruk sejak akhir-akhir ini," katanya.