Menjual emosi dalam PRN

No Image Caption
A
A
A

KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah berlangsung selama seminggu. Ada seminggu lagi untuk 447 calon perlu berusaha memenangi 73 kerusi yang dipertandingkan.

Dalam keadaan persaingan yang sengit itu, sekali lagi Sabah for Sabahan dilaungkan secara bersungguh oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) dan kadangkala Parti Cinta Sabah (PCS). Sangat aneh apabila isu Sabah dianaktirikan hanya muncul apabila pemimpin hilang kuasa atau mahu merebut kuasa yang lebih tinggi.

Realitinya, selama lebih dua dekad Barisan Nasional (BN) mentadbir, Sabah telah mencapai kemajuan yang luar biasa dan pantas terutama dua penggal terakhir di bawah Tan Sri Musa Aman. Benarlah, mustahil untuk setaraf Kuala Lumpur atau Putrajaya, namun keadaan sebahagian besar kampung dan luar bandar Sabah tidak jauh berbeza dengan di Semenanjung. Apa sahaja kemajuan di Semenanjung tetap sampai di Sabah.

Sabah for Sabahan adalah satu kempen yang memperjudikan perpaduan dan menjejaskan semangat nasionalisme rakyat. Pada tahun 1960-an,1980-an dan 1990-an, ramai juga penduduk Semenanjung yang berkorban keselesaan hidup datang ke Sabah untuk berkhidmat sebagai guru, askar dan polis jauh di kawasan pedalaman.Ini semua kerana kita adalah satu negara tanpa kecurigaan dan taksuban kenegerian melampau.

Kempen anti-Persekutuan, anti-Semenanjung dan anti-Malaya sentiasa digunakan apabila mahu menentang UMNO dan BN di Sabah.

Ada ketika kempen berjaya seperti yang digunakan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Umum 1990, namun sejarah juga menunjukkan akhirnya PBS menjadi parti yang mesra Persekutuan.

Pada tahun 2018, Warisan dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggunakan taktik yang sama. Sungguhpun bersama kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau tidak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau mengambil alih dan menjenamakan semula Wari-san. Tujuan beliau tidak menyertai mereka hanyalah satu iaitu mengeksploitasi sentimen Sabah untuk rakyat Sabah.

Artikel Berkaitan:

Warisan gagal menjatuhkan kerajaan BN pada PRU14, namun berjaya menjatuhkan kerajaan BN yang berusia dua hari dengan ‘bantuan’ Persekutuan atau kata beliau sekarang ‘Malaya’. Sekelip mata sahaja laungan Sabah for Sabahan senyap sepi.

Mohd Shafie menggunakan alasan perlu berbaik dengan Persekutuan untuk pembangunan kawasan, malah bagi menarik sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokongnya.

Beliau membubarkan DUN dengan alasan tidak mahu pentadbiran Sabah dikawal Persekutuan. Tidak mahu Tan Sri Musa Aman kembali menjadi Ketua Menteri kerana Musa adalah kehendak Persekutuan, bukan kehendak rakyat Sabah. Mohd Shafie mungkin lupa BN telah menang pada PRU lalu sebelum dijatuhkan oleh beliau dengan bantuan Persekutuan. Pemimpin politik akan menjual apa sahaja emosi untuk menarik sokongan pengundi.

Mohd Shafie dan Anifah Aman (PCS) telah berada dalam UMNO hampir 15 tahun. Tiba-tiba hari ini apabila mereka bukan lagi pemimpin UMNO, semuanya menjadi parti Sabah lawan parti Semenanjung.

Demikianlah politik memecahbelahkan negara. Namun bukan salah politik, bukan salah orang politik tetapi salah pengundi. Orang politik meniup-kan seruling sentimen mengikut kehendak rakyat. Pengundi di Sabah sahaja boleh memutuskan untuk menjayakan sentimen kenegerian melampau atau memilih mereka yang benar-benar mahu membangunkan Sabah.

*Ab Jalil Backer merupakan Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR)